Presiden terakhir era apartied meninggal dunia

Frederik Willem de Klerk.- Foto fail CNN
Frederik Willem de Klerk.- Foto fail CNN
A
A
A

JOHANNESBURG - Presiden terakhir era aparteid di Afrika Selatan Frederik Willem de Klerk meninggal dunia awal Khamis di kediamannya di Fresnaye, Cape Town pada usia 85 akibat kanser mesotelioma, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan daripada yayasannya.

De Klerk yang berkhidmat sebagai Presiden dari September 1989 hingga Mei 1994, dikenali kerana peranan pentingnya dalam menghapuskan penindasan oleh pemerintah kulit putih melalui sistem aparteid.

Pada 1990, De Klerk mengumumkan pembebasan aktivis Nelson Mandela yang dipenjarakan selama 27 tahun kerana menentang aparteid.

Pembebasan Mandela membawa kepada pilihan raya pelbagai parti pada 1994 yang menyaksikan parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pimpinannya menang dan beliau menjadi Presiden Kulit Hitam pertama di negara itu.

De Klerk turut berkongsi Hadiah Keamanan Nobel 1993 bersama Mandela.

Beliau juga menjadi Timbalan Presiden di bawah kerajaan demokrasi baharu Mandela pada 1994.

Presiden Cyril Ramaphosa mengucapkan takziah kepada keluarga De Klerk dan mengiktiraf sumbangannya terhadap demokrasi Afrika Selatan.

Ramaphosa berkata, De Klerk memainkan peranan penting dalam peralihan negara kepada demokrasi pada 1990-an selepas pertemuan pertamanya dengan Mandela pada 1994, yang ketika itu merupakan tahanan politik.

Artikel Berkaitan:

"Beliau membuat keputusan berani dengan membatalkan pengharaman parti-parti politik, membebaskan tahanan politik dan mengadakan rundingan dengan gerakan pembebasan meskipun berhadapan tekanan daripada pihak lawan di kawasan politiknya,” katanya.

Ramaphosa menjelaskan, De Klerk adalah warga Afrika Selatan yang komited dan berpegang kepada konsep perlembagaan demokratik dan meletakkan masa depan jangka panjang negara itu mendahului kepentingan politik yang sempit.

"Semasa menjadi Timbalan Presiden dari 1994 hingga 1996, De Klerk memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan Nasional, mendedikasikan dirinya terhadap perlembagaan untuk memulihkan perpecahan dan konflik masa lalu kita," kata Ramaphosa.

Tokoh pembangkang Afrika Selatan Bantu Holomisa, yang juga bekas aktivis perjuangan berkata, keputusan De Klerk mengadakan rundingan bagi menamatkan aparteid membantu menghalang berlakunya pertumpahan darah di negara itu.

Yayasan Nelson Mandela juga mengiktiraf sumbangan dan peranan penting De Klerk terhadap peralihan negara. -- Bernama