YouTuber bina badan, Jo Lindner meninggal dunia di usia 30 tahun

Lindner mempunyai lebih 940,000 pengikut di laman sosial. - Foto IG joesthetics
Lindner mempunyai lebih 940,000 pengikut di laman sosial. - Foto IG joesthetics
A
A
A

YOUTUBER bina badan terkenal, Jo Lindner meninggal dunia pada usia 30 tahun selepas mengadu sakit leher pada Sabtu.

Bintang media sosial kelahiran Jerman yang menetap di Thailand bersama teman wanitanya dikenali sebagai Nicha sejak beberapa tahun lalu itu kerap berkongsi 'content' mengenai sukan bina badan selain kehidupannya di Thailand.

Dia mempunyai lebih 940,000 pengikut di laman sosial, lapor portal The Metro.

Nicha mengesahkan kematiannya di Instagram dan berkata Linder meninggal dunia secara tiba-tiba akibat aneurisme di pangkuannya.

"Semalam dia meninggal dunia akibat aneurism. Saya bersamanya di dalam bilik, dia memakai rantai saya yang dibuatnya untuk saya.

"Kami sedang berbaring sementara menunggu untuk berjumpa Noel (rakan) di gimnasium pada jam 4 petang. Kejadian berlaku dengan pantas.

"Sejak tiga hari lalu dia mengadu sakit pada leher. Kami tidak menyedari apa-apa sehingga sudah terlambat," katanya.

Sementara itu, menurut penjelasan di portal Hello Doktor, aneurisme otak (serebral) adalah kawasan yang membengkak dan lemah di dinding arteri yang membekalkan darah ke otak.

"Dalam kebanyakan kes, aneurisme otak tidak menyebabkan simptom dan tidak disedari. Dalam kes yang jarang berlaku, aneurisme otak pecah, seterusnya melepaskan darah ke tengkorak dan mengakibatkan strok.

"Apabila aneurisme otak pecah, hasilnya dipanggil pendarahan subaraknoid. Bergantung pada tahap keterukan pendarahan, kerosakan otak atau kematian mungkin berlaku.

"Lokasi yang paling biasa bagi aneurisme otak adalah dalam rangkaian saluran darah di pangkal otak yang dipanggil bulatan Willis.

"Kira-kira 1.5 hingga 5 peratus daripada populasi umum mempunyai atau akan mengalami aneurisme otak. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risikonya," jelas portal itu.