Dewan Rakyat: Sesi perbahasan bajet selesai di peringkat dasar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 131 Ahli Parlimen menamatkan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di peringkat dasar semalam selepas menyambung sesi berkenaan sepanjang minggu ketiga persidangan Dewan Rakyat.

Sesi penggulungan rang undang-undang itu oleh setiap kementerian akan bermula Isnin ini selama empat hari sebelum diluluskan dan dibahas di peringkat jawatankuasa.

Antara isu menarik dibangkitkan dalam perbahasan sepanjang minggu ini ialah mengenai Rang Undang-undang (RUU) Antilompat parti apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, cadangan membentang rang undang-undang itu di Parlimen sewajarnya diterima semua ahli Parlimen.

Reaksi mengenai rang undang-undang itu turut diberikan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) yang menarik perhatian persidangan bahawa tindakan lompat parti dalam kalangan ahli politik telah mengakibatkan ketidakstabilan politik di negara ini.

Rang undang-undang antilompat parti itu ditimbulkan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) September lepas yang meminta agar ia dibentang secepat mungkin.

Perkara-perkara berkaitan Sabah dan Sarawak turut mencuri tumpuan iaitu selain isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang kerap dibangkitkan, soal pembangunan dan pendidikan di kedua-dua negeri berkenaan tidak lari juga daripada disentuh ahli-ahli Parlimen.

Antaranya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) menggesa kerajaan memperbanyak projek pembangunan di Sarawak susulan Kalimantan yang bersempadan dengan negeri itu bakal dinobat sebagai ibu negara baharu Indonesia.

Sementara itu, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) pula berharap tiada murid di Sarawak yang ‘terlepas’ dalam inisiatif pengagihan komputer riba oleh kerajaan Persekutuan, manakala Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) mempersoal sama ada sasaran menempatkan 90 peratus guru kelahiran Sarawak kembali berkhidmat di negeri itu sudah dipenuhi.

Artikel Berkaitan:

Isu-isu lain yang turut disentuh termasuk mengenai pengeluaran wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pilihan Raya Negeri Melaka dan Sarawak, vaksin dan cadangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab e-games.

Persidangan Dewan Rakyat minggu ini turut dimaklumkan mengenai pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 yang dijangka dibentang pada suku ketiga 2022 dan pembangunan vaksin tempatan yang mempunyai kelebihan dengan perolehan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selain itu, satu program bantuan kewangan yang baharu dikenali sebagai KPT IHSAN dirancang dibangunkan, manakala Dasar Tenaga Negara sedang dirangka bagi memastikan aspek berkaitan bekalan elektrik negara mampu menampung keperluan pengguna kenderaan elektrik, selain sektor perindustrian dan isi rumah.

Persidangan Dewan Rakyat minggu ini turut menyaksikan Rang Undang-Undang Kewangan 2021 melibatkan pindaan ke atas lapan akta untuk melaksanakan langkah Bajet 2022 dibentang untuk bacaan kali pertama. -Bernama