Serba Dinamik Holdings gagal peroleh injunksi ad interim

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Khamis menolak permohonan Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) untuk mendapatkan injunksi ad interim terhadap Bursa Malaysia dan firma audit Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (E&Y) bagi menghalang mereka daripada mengeluarkan laporan berhubung dapatan mengenai syarikat itu.

SDHB, yang merupakan penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu, memfailkan saman pemula dan permohonan injunksi pada 3 dan 5 November lepas dengan menamakan Bursa Malaysia dan E&Y sebagai defendan.

Peguam Mohamed Izzul Faris, yang mewakili SDHB berkata, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membenarkan permohonan plaintif untuk menangguhkan pendengaran saman pemula serta injunksi untuk membolehkan syarikat itu memfailkan afidavit balasan kepada afidavit jawapan yang difailkan Bursa Malaysia dan E&Y.

“Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan injunksi ad interim yang kami pohon. Mahkamah mengarahkan plaintif membalas afidavit dalam tempoh seminggu bermula hari ini dan menetapkan 8 Dis ini untuk pendengaran bagi kedua-dua permohonan tersebut (saman pemula dan injunksi),” katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis selepas prosiding kes secara dalam talian yang turut disertai peguam Datuk Loh Siew Cheang bagi pihak Bursa Malaysia dan Gopal Sreenevasan bagi pihak E&Y.

Injunksi ad interim berfungsi untuk melindungi sementara plaintif yang memfailkan tuntutan dengan mengekalkan status quo sementara menunggu pendengaran injunksi interim.

Berdasarkan dokumen saman pemula, SDHB memohon deklarasi bahawa arahan yang diberikan oleh defendan (Bursa Malaysia) bertarikh 28 Jun dan 2 Julai 2021 kepada syarikat itu untuk melantik Ernst & Young Consulting Sdn Bhd sebagai juruaudit khas bagi menjalankan ‘Kajian Semula Khas yang Bebas’ (SIR) mengikut perenggan 2.23 dan 2.24 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) adalah melebihi bidang kuasanya, batal dan tidak sah serta tidak mempunyai kesan.

Plaintif turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Bursa Saham, wakil serta ejennya daripada mengeluarkan sebarang arahan kepada syarikat itu atau anak syarikat SDHB untuk menjalankan sebarang kajian semula dan membuat sebarang pengumuman atau menerbitkan, mengedar atau menyediakan kepada sesiapa ‘Kemas Kini Penemuan Fakta’ yang disediakan oleh Ernst & Young.

Selain itu, SDHB memohon ganti rugi dan kos daripada Bursa Saham.

Artikel Berkaitan:

SDHB juga memfailkan saman pemula terhadap E&Y dengan memohon relief dan deklarasi bahawa EY Consulting bukan ‘juruaudit’ dalam definisi Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) serta deklarasi EY Consulting telah mengelirukan SDHB bahawa mereka boleh dilantik mengikut perenggan 2.23 dan 2.24 MMLR.

SDHB juga memohon perintah injunksi interim terhadap EY Consulting sementara menunggu keputusan saman pemula untuk menghalangnya daripada mendedah atau menyebarkan apa-apa penemuan, laporan, memorandum serta pendapat mengenai SDHB dan kumpulan syarikatnya sama ada secara keseluruhan atau sebahagian kepada sesiapa dalam apa-apa format sama ada cetakan, elektronik atau melalui mana-mana media atau forum. - Bernama