X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Eskalator lima tahun tidak berfungsi akan dibaiki Disember ini

Eskalator yang didakwa tidak berfungsi sejak lima tahun lalu dibangkitkan oleh seorang pengguna Twitter pada Rabu.
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang pemilik akaun Twitter mendakwa eskalator di Stesen Sri Rampai di sini tidak berfungsi sejak lima tahun lalu telah menarik perhatian netizen.

Status yang ditulis @MuzamilIdris pada Rabu itu ditujukan kepada @RapidKL dan mendapat 4,731 tanda suka serta 4,343 ciapan semula.

Menerusi ciapan tersebut, MuzamilIdris telah berkongsi keadaan eskalator tersebut pada 9 November 2016 yang sehingga kini belum berfungsi.

"Dah lima tahun aku tunggu (tweet asal ini sebenarnya lima tahun lepas), sudah tiga kali tukar kerajaan, eskalator ini dari 2016 masih tak dapat alat ganti lagi? @MyRapidKL," menurut ciapan tersebut pada Rabu.

RapidKL kemudian membalas ciapan dilontarkan lelaki berkenaan dengan memaklumkan aduan tersebut akan disemak oleh petugas syarikat tersebut.

Bagaimanapun, RapidKL kemudian membuat permohonan maaf di atas balasan Twitter tersebut susulan penyelenggaraan kemudahan tersebut bukan di bawah bidang kuasa mereka.

"Kami memohon maaf di atas kekhilafan maklum balas tweet yang terdahulu. Selepas semakan dibuat, kami ingin memaklumkan bahawa eskalator ini bukan di bawah selenggaraan RapidKL.

"Kami menyarankan anda mengemukakan aduan kepada pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) di pautan http://adukl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do atau @DBKL2u," menurut balasan oleh Rapid KL pada ciapan tersebut.

Sementara itu, sumber DBKL ketika diminta mengulas berhubung perkara itu mengesahkan kemudahan tersebut adalah di bawah selenggaraan DBKL.

"Bulan Disember nanti kontraktor akan masuk untuk baiki, dijangka siap Mac 2022," balasnya ringkas.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!