Kerjasama IMR, VRI diharap lebih banyak penemuan berkaitan vaksin

 Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kiri) melihat pameran Makmal Bio-Keselamatan Tahap 3 penyelidikan haiwan ketika membuat lawatan kerja di Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh hari ini.
Turut sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor (tengah). Foto Bernama
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kiri) melihat pameran Makmal Bio-Keselamatan Tahap 3 penyelidikan haiwan ketika membuat lawatan kerja di Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh hari ini. Turut sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor (tengah). Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kolaborasi berterusan antara Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) diharap mampu menghasilkan lebih banyak penemuan berkaitan vaksin termasuk Covid-19 dan untuk penyakit haiwan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, VRI yang mempunyai kemudahan perkhidmatan makmal untuk kajian vaksin Covid-19 diharap dapat bergerak ke hadapan dengan pelbagai penemuan untuk manfaat pelbagai pihak terbabit dan pemain industri.

“Kita melihat sejarah penubuhan VRI berjaya mencipta banyak penemuan dari segi pengeluaran vaksin untuk pelbagai penyakit haiwan di negara kita. Jadi, selepas vaksin dibangunkan oleh IMR, di peringkat VRI pula akan berperanan menjalankan 'kajian keberkesanan vaksin terhadap haiwan'.

“VRI mempunyai kemudahan yang lengkap untuk kajian praklinikal. Kita harap VRI akan terus bergerak ke hadapan membuat lebih banyak kajian penyakit haiwan, sekali gus dapat memainkan peranan menyediakan kemudahan perkhidmatan makmal untuk kajian vaksin Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas melawat VRI di sini pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria.

Pada Rabu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim dilaporkan berkata, kerajaan sedang melaksanakan kerjasama pembangunan vaksin Covid-19 jenis 'messenger ribonucleic acid' (mRNA) melalui rundingan dengan University of Pennsylvania, Amerika Syarikat dan University of Chulalongkorn, Thailand.

Ahmad Amzad berkata, rundingan itu kini berada dalam kajian klinikal fasa dua dan tiga serta ia turut memberi penekanan melibatkan elemen pemindahan teknologi dan kepakaran malah kementerian menyediakan dana dalam bentuk geran yang bertujuan untuk menggalakkan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) dalam memerangi serta membendung pandemik Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: