Jual hotel: Najib dedah syarikat Singapura bayar deposit

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas dakwaan pihak tertentu yang mendakwa beliau menyebar berita palsu berhubung penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, beliau dituduh berbohong kerana menyebarkan berita palsu bahawa hotel yang dimiliki syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings itu sedang dijual kepada syarikat Singapura.

"Minggu lepas saya dedahkan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Boustead Holdings sedang dijual kepada syarikat Singapura pada harga RM197 juta.

"Tetapi mereka kata saya bohong. Tuduh saya sebar 'fake news' (berita palsu)," katanya dalam satu kenyatan menerusi Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Najib turut meletakkan pautan laman web akhbar bahasa Inggeris yang bertajuk: 'Stop spreading fake news on hotel sale, Defence Ministry tells Najib'.

"PH pakai air liur tuduh saya penyebar 'fake news namun, lampiran-lampiran ini adalah pengumuman yang saya dapat daripada Bursa Saham Singapura. Syarikat Singapura terbabit mengesahkan mereka memperoleh kelulusan membeli hotel (Hotel Royale Chulan Bukit Bintang).

"Mereka juga mengesahkan bahawa wang deposit sudah dibayar kepada Boustead. Wang pun sudah mula bayar, bro. Takkan syarikat ini mahu menipu Bursa Saham Singapura pula?," perli Najib.

Mengulas lanjut, Najib memberitahu, syarikat Singapura berkenaan berpuas hati dengan harga pembelian ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya harga RM450,000 satu bilik hotel itu adalah rendah jika dibandingkan dengan penjualan hotel empat bintang lain di Kuala Lumpur.

"Ada hotel-hotel lain terletak di jalan yang sama pernah dijual pada harga dua kali ganda lebih tinggi pada beberapa tahun lepas," ujarnya.

Pada Jumaat lalu, Najib dinasihatkan supaya memberi tumpuan kepada kes rasuah yang sedang dihadapinya daripada terus menyebar berita palsu mengenai penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang.

Setiausaha Akhbar Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar berkata, Najib hanya sekadar membaca tajuk mengenai pengumuman Boustead Holdings kepada Bursa Malaysia mengenai penjualan aset milik LTAT.

Jelasnya, Najib tidak langsung membaca isi kandungan pengumuman itu sehingga menyebabkan beliau gagal memahami penjelasan Pejabat Menteri Pertahanan yang menyatakan penjualan hotel tersebut masih belum muktamad.