187,690 usahawan terjejas terima bantuan pembiayaan termasuk moratorium

Noh ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Noh ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 187,690 usahawan dan koperasi terjejas bagi tempoh September 2021 hingga 31 Oktober 2021 telah menerima bantuan pembiayaan termasuk moratorium, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, selain itu sebanyak 2,618 usahawan baharu dalam kalangan golongan hilang pekerjaan iaitu belia dan graduan telah dilatih untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Sebanyak 7,113 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah dibantu bagi memperkukuh daya tahan perniagaan melalui adaptasi teknologi.

“Pada masa yang sama, selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dalam membina ‘bangsa usahawan’ dan menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul, beberapa garis panduan dan strategi telah disusun bagi memantapkan pelaksanaan pendidikan dan kemahiran keusahawanan,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai sasaran PMKS, kejayaan yang telah dicapai dan tindakan untuk membantu mereka membina ‘bangsa usahawan’ dan menjadikan negara sebagai negara keusahawanan.

Noh berkata, usaha melahirkan budaya ‘bangsa usahawan’ telah bermula sejak di peringkat sekolah melalui penubuhan koperasi.

“Selain itu, Kementerian Pendidikan telah mewujudkan elemen atau komponen keusahawanan sedia ada yang telah dimasukkan dalam elemen merentas kurikulum peringkat sekolah rendah dan menengah di samping mata pelajaran khusus keusahawanan di bawah bahagian pendidikan dan latihan teknikal vokasional,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan M Karupaiya (PH-Padang Serai) mengenai usaha kementerian untuk membantu usahawan yang terpaksa gulung tikar akibat pandemik, Noh berkata, bantuan kepada mereka yang terjejas termasuk pinjaman atau geran, serta moratorium.

Artikel Berkaitan:

“MEDAC juga mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi. Contohnya, kita mahu pastikan 848 unit premis perniagaan di kompleks beli-belah milik Uda Holdings Bhd (UDA) di seluruh negara beroperasi 100 peratus.

“Setakat ini, menjelang hujung bulan ini semua premis perniagaan di kompleks perniagaan UDA akan bermula dengan membawa mana-mana usahawan yang mahu memulakan perniagaan di premis UDA,” katanya sambil memaklumkan mereka akan diberikan pinjaman melalui agensi lain seperti Tekun Nasional dan Bank Rakyat untuk memulakan perniagaan. - Bernama