Tuai hasil 200kg cili bara

Salah seorang peserta projek fertigasi cili bara berpuas hati apabila 200kg berjaya dituai untuk pertama kali.
Salah seorang peserta projek fertigasi cili bara berpuas hati apabila 200kg berjaya dituai untuk pertama kali.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 200 kilogram (kg) cili bara yang ditanam di tengah Bandaraya Kuantan melibatkan lima golongan rentan dituai pada Rabu selepas tiga bulan projek fertigasi itu dilaksanakan.

Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dapur Infaq Ummah Kuantan, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, hasil kutipan itu akan dijual kepada pembeli yang sudah berminat untuk memborong kesemua cili bara tersebut pada harga pasaran iaitu RM10 satu kilogram.

"Anggaran harga ialah RM2,000. Jadi, kita ada 18 kali lagi kutipan dalam tempoh enam bulan sebelum bermula penanaman musim kedua.

"Untuk musim kali kali ini, kita sasar perolehan pendapatan sekitar RM40,000," katanya ditemui di tapak Projek Tanaman Fertigasi Cili Bara bagi komuniti rentan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah pada Rabu.

Projek fertigasi itu mendapat kerjasama beberapa agensi dan NGO seperti Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Yayasan Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Badrul Jamili berkata, projek itu dibangunkan pertubuhan bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan rentan.

Sebanyak 2,000 polibeg tanaman fertigasi cili bara yang diusahakan lima golongan rentan sudah dituai hari ini.
Sebanyak 2,000 polibeg tanaman fertigasi cili bara yang diusahakan lima golongan rentan sudah dituai hari ini.

"Kita yakin dengan pengeluaran hasil, peserta yang terlibat akan memperoleh pendapatan kira-kira RM1,500 hingga RM2,000 sebulan yang mampu memberikan kehidupan baharu buat mereka," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Badrul Jamili memberitahu, projek penanaman cili itu akan diperluaskan dalam skala lebih besar daripada 2,000 kepada 4,000 polibeg dalam tempoh enam bulan lagi.

Katanya, perancangan tersebut dibuat selepas melihat kejayaan lima peserta yang menguruskan penanaman cili bara ketika ini.

"Peserta yang telah dilatih boleh mengajak rakan-rakan lain untuk melaksanakan projek penanaman sebegini di kawasan lain, Kita yakin lebih ramai golongan rentan berminat untuk menjadi usahawan tani selepas melihat kejayaan lima rakan mereka ini," katanya.

Badrul Jamili memberitahu, pihaknya turut menjual benih cili bara kepada usahawan tani Yayasan Pahang.

"Mereka memerlukan kira-kira 200,000 anak benih cili bara dan setakat ini kita sudah membekalkan kira-kira 20,000 anak benih," katanya.