Dipenjara tiga bulan curi seluar dalam wanita

Hossain (dua dari kiri) dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.
Hossain (dua dari kiri) dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Gara-gara mencuri pakaian dalam RM5, seorang pekerja pusat hiburan warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.

Tertuduh Hossain Md Iqbal, 32, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah mencuri sehelai pakaian dalam bernilai RM5 milik seorang wanita berusia 57 tahun di sebuah rumah di Taman Hilir Kota 1, Jalan Merdeka di sini pada kira-kira jam 3.30 petang, 7 Jun lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang mana tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes pengadu ketika berada di rumahnya mendapati sehelai pakaian dalam miliknya yang dijemur di hadapan rumah telah hilang.

Pengadu memaklumkan kepada pihak pengurusan pangsapuri berkenaan dan menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) mendapati warga asing yang dikenali telah mencuri pakaian dalamnya itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara lebih-lebih lagi kegusaran masyarakat sekiranya mangsa bebas dan kembali ke kawasan berkenaan seandainya tertuduh dikenakan denda sahaja.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda yang rendah dikenakan terhadapnya.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh dipenjara tiga bulan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 12 Jun lalu.