Jangan biar judi musnahkan kita

Sindiket judi terus berleluasa walaupun kebanyakannya sempat beroperasi selama beberapa bulan sahaja kerana berjaya ditumpaskan pihak berkuasa.
Sindiket judi terus berleluasa walaupun kebanyakannya sempat beroperasi selama beberapa bulan sahaja kerana berjaya ditumpaskan pihak berkuasa.
A
A
A

LANGKAH kerajaan meneliti undang-undang berkaitan judi sedia ada untuk tujuan pindaan penambahbaikan bagi memastikan ia relevan dengan perubahan modus operandi sindiket perjudian terutama perjudian dalam talian amat dialu-alukan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Isnin lalu memberitahu Dewan Rakyat, kajian itu sedang dijalankan oleh Kementerian Kewangan dengan turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri.

Di negara ini, sindiket perjudian dalam talian muncul seperti cendawan selepas hujan. Sebanyak 2,294 pertuduhan melibatkan perjudian dalam talian direkodkan di seluruh negara pada 2019; 2,911 pertuduhan pada 2020; dan 2,165 pertuduhan tahun ini.

Meskipun begitu, sindiket judi terus berleluasa walaupun kebanyakannya sempat beroperasi selama beberapa bulan sahaja kerana berjaya ditumpaskan pihak berkuasa.

Sebagai contoh, polis Johor baru-baru ini menumpaskan sindiket judi dalam talian yang baru beroperasi tiga bulan di sebuah pangsapuri di Johor Bahru. Sindiket itu mempunyai kira-kira 7,000 pelanggan dengan kutipan harian sehingga RM20,000.

Sikap tamak dan mahu mengaut untung lumayan menyebabkan pihak sindiket rambang mata sehingga tidak takutkan undang-undang.

Isu judi kembali hangat di Dewan Rakyat minggu lalu selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ‘golongan Melayu elit’ diumpan menyertai kelab perjudian yang dikendalikan oleh seorang ‘bos kaya’.

Beliau menyoal mengapa tiada tindakan diambil dalam kes itu sedangkan 45 peratus ahlinya adalah orang Melayu dan ini boleh mengakibatkan lebih ramai individu daripada kaum itu terlibat dalam perjudian.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, semua agama mengharamkan judi. Hal ini disebabkan judi mendatangkan banyak keburukan.

Berjudi menyebabkan seseorang berhutang. Orang yang ketagihan berjudi tidak akan dapat menghentikan keinginan untuk berjudi lantas mendorong mereka berhutang apabila kehabisan wang. Keadaan ini boleh membuatkan mereka kehilangan harta benda, pekerjaan, malah keluarga.

Maka, sudah sampai masanya undang-undang perjudian yang lebih menyeluruh diwujudkan.