Dua pengunjung terperangkap kepala air di Hutan Lipur Bukit Wang

Kejadian kepala air yang berlaku pada jam 5 petang pada Selasa yang sempat dirakam oleh pengunjung
Kejadian kepala air yang berlaku pada jam 5 petang pada Selasa yang sempat dirakam oleh pengunjung
A
A
A

KUBANG PASU - Dua pengunjung lelaki terperangkap dalam kejadian kepala air di Hutan Lipur Bukit Wang di sini pada petang Selasa.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, dua lelaki terbabit mengunjungi hutan lipur berkenaan sebelum berlakunya kejadian kepala air pada jam 5 petang.

Walau bagaimanapun katanya, kedua-dua mereka yang berusia 19 dan 21 tahun itu dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Anggota Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah menjalankan operasi menyelamat kedua- dua mangsa yang berasal daripada Jitra itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Menurutnya, kejadian kepala air itu berlaku selepas hujan lebat selama tiga jam di kawasan berkenaan.

Dua pengunjung yang terperangkap diselamatkan anggota APM dan Bomba.
Dua pengunjung yang terperangkap diselamatkan anggota APM dan Bomba.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian terbabit turut mengakibatkan seramai 30 penduduk daripada lapan keluarga dari kampung berdekatan turut terjejas apabila dilanda banjir kilat sedalam 0.5 meter.

"Tiga kampung terlibat adalah Kampung Bukit Wang, Kampung Padang Panjang dan Kampung Sampang. Sehingga kini operasi pemantauan sedang dijalankan di mukim dan lokasi berkaitan.

"Pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau atas nasihat Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Padang Panjang, Mohd Sahabudin Senawi berkata, kejadian kepala air di kawasan hutan lipur terbabit kerap berlaku kebelakangan ini.

"Namun air yang turun sebelum ini tidak laju seperti yang berlaku petang tadi. Walau bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku melibatkan pengunjung atau penduduk setempat.

"Jadi saya nasihatkan kepada mereka yang berhasrat untuk berkunjung ke hutan lipur terbabit supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling kerana cuaca yang tidak begitu baik pada ketika ini," katanya.