Island Medical City, hub perubatan pertama negara

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Island Medical City (IMC) di Lebuh Raya Peel dan Jalan Pierce di sini bakal menjadi hub perubatan pertama di Malaysia, lengkap dengan peralatan perubatan yang canggih dan kemudahan penjagaan tertiari terbesar dan tercanggih di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, berkata, pembangunan IMC merangkumi perluasan kemudahan perubatan semasa di Island Hospital yang terdiri daripada pusat perubatan dengan 600 katil, “suite” perubatan serta hotel pelancongan perubatan sebagai sebahagian daripada kemudahannya.

"Pakar perubatan, terutama mereka yang mengamalkan profesion itu di seberang laut, kini mempunyai alasan untuk kembali ke tanah air untuk berkhidmat di Pulau Pinang. Ini peluang terbaik untuk menarik pakar yang telah meninggalkan negara," katanya dalam ucapannya pada upacara pecah tanah projek pembesaran Island Hospital, di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, nilai ekonomi projek itu dijangka melebihi RM7 bilion yang manfaatnya meliputi industri lain, dan mewujudkan kemajuan yang mampan untuk Pulau Pinang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai empat bangunan di kawasan tanah yang dikategorikan sebagai bangunan warisan Kategori II di bawah senarai bangunan warisan negeri, Kon Yeow berkata bangunan itu dirobohkan dengan kelulusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pada Jun tahun lepas, bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah menjual sebidang tanah seluas 2.6 hektar bernilai RM156 juta di Lebuh Raya Peel kepada Island Hospital Sdn Bhd untuk pembinaan projek bandar perubatan. - Bernama