Cadang wujud kaukus isu Palestin di Parlimen

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (tengah) bersama Pengerusi Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQP) Dr Fauziah Mohd Hasan (dua, kanan) menyempurnakan majlis penutup kempen global #KitaSemuaMaryam anjuran MWCQP hari ini.
Kempen itu yang bermula 28 Feb sehingga semalam adalah bagi menyediakan biasiswa pendidikan kepada sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin dalam kalangan negara. - Foto Bernama
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (tengah) bersama Pengerusi Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQP) Dr Fauziah Mohd Hasan (dua, kanan) menyempurnakan majlis penutup kempen global #KitaSemuaMaryam anjuran MWCQP hari ini. Kempen itu yang bermula 28 Feb sehingga semalam adalah bagi menyediakan biasiswa pendidikan kepada sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin dalam kalangan negara. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Cadangan untuk mewujudkan kaukus isu pembebasan rakyat Palestin dalam sidang Parlimen, akan dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata kaukus itu akan membolehkan Malaysia turut sama memperjuangkan keamanan di seluruh dunia menerusi pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) daripada cengkaman rejim Zionis.

“Memandangkan Malaysia telah meratifikasikan Statut Rom, kita boleh memperjuangkan keamanan seluruh dunia melalui platform NGO seperti Humanitarian Care Malaysia (MyCare).

“Secara tidak langsung, ia boleh diangkat sebagai platform untuk perjuangan pembebasan Palestin yang telah lama ditindas dan hidup mereka terseksa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup kempen global #KitaSemuaMaryam, di sini hari ini.

Zuraida berkata, sudah tiba masanya perlaksanaan Statut Rom dilakukan bagi menunjukkan komitmen Malaysia dalam membantu orang Islam di Gaza khususnya pembebasan rakyat Palestin.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQP), Dr Fauziah Mohd Hasan yang menyambut baik cadangan itu, berkata Malaysia memerlukan satu kaukus yang kukuh bagi memperjuangkan nasib warga Palestin khususnya golongan wanita.

“Kita sudah membentuk satu gabungan dengan ASEAN dan juga mencadangkan kepada negara-negara lain menubuhkan Kaukus Parlimen berkenaan.

“Ini amat perlu agar suara-suara dan penekanan kita akan didengar agar kuasa-kuasa besar dunia boleh campur tangan hentikan kekejaman Israel,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai kempen #KitaSemuaMaryam melibatkan 50 negara antaranya Brazil, Kanada, Pakistan, India dan United Kingdom, Dr Fauziah berkata: “Inisiatif ini menunjukkan wanita juga boleh memainkan peranan membawa suara keamanan Palestin kepada masyarakat dunia mendesak Israel untuk hentikan kekejaman mereka.

“Ini adalah usaha kecil kami mewakili Malaysia bagi memberi pernyataan kepada dunia tentang nasib menimpa rakyat negara itu yang menjadi mangsa kekejaman Israel.- Bernama