PRN Melaka: SPR terima 112 kertas pencalonan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 112 kertas pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.Gambar hiasan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 112 kertas pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sejumlah 112 kertas pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, lima parti dan 22 calon Bebas disahkan bertanding pada PRN Melaka dengan pertandingan tiga penjuru paling banyak direkodkan di 11 DUN.

Beliau berkata, daripada 112 kertas penamaan calon yang layak bertanding itu, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menampilkan seramai 28 calon, selain lima daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan satu mewakili Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

"Secara keseluruhan, pertandingan mengikut penjuru adalah tiga penjuru melibatkan sebanyak 11 DUN, selain empat penjuru di sembilan DUN, lima penjuru di lima DUN dan enam penjuru melibatkan sebanyak tiga DUN," katanya ketika sidang akhbar selepas proses penamaan calon di sini pada Isnin.

Beliau berkata, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam pada 19 November ini.

"SPR juga telah menubuhkan seramai 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti calon ketika berkempen.

"Untuk makluman, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuka bilik gerakan yang beroperasi selama 24 jam bermula 8 hingga 20 November 2021. Nombor hotline yang boleh dihubungi untuk sebarang aduan ialah 06-289 6000 atau 06-289 6011," jelas beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa SOP Pencegahan Covid-19 di PRN Melaka telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad selaras dengan Peraturan 16, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Artikel Berkaitan:

"SOP khas ini akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses penjalanan pilihan raya iaitu taklimat petugas, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

"Sepanjang tempoh berkempen, calon atau parti hanya dibenarkan untuk membuka satu bilik jawatankuasa atau bilik gerakan utama untuk satu DUN dan tiada bilik gerakan kecil atau tempat berkumpul lain bagi calon atau parti dibenarkan.

"Bagi mematuhi penjarakan fizikal, ceramah yang menghimpunkan orang ramai tidak dibenarkan. Begitu juga aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan aktiviti 'walkabout' adalah tidak dibenarkan.

"Calon boleh memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium dalam talian atau melalui saluran media massa dan media sosial," katanya.

Beliau juga menasihatkan kepada semua pengundi untuk tidak takut datang mengundi kerana SPR akan memastikan kawalan SOP yang ketat sepanjang tempoh mengundi.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my