Bengkak pada leher rupanya kanser

Raja Muhammad(tengah) gembira diraikan 'superhero' diminatinya.
Raja Muhammad(tengah) gembira diraikan 'superhero' diminatinya.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita tidak menyangka bengkak di leher anak lelakinya sebesar hampir tiga sentimeter rupa-rupanya adalah kanser.

Noor Baizurah Mohamad Rusni, 31, berkata, anak keempatnya Raja Muhammad Raja Mohd Rizal, 4, disahkan menghidap kanser darah pada Oktober tahun lalu.

"Saya pada mulanya ingatkan bengkak itu disebabkan gatal, tapi hari demi hari ia semakin membesar.

"Anak pula mengadu sakit dan mula demam. Bila dibawa ke Klinik Kesihatan saya diberitahu ia kemungkinan kanser dan telah dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, paling tidak disangka apabila pihak hospital memberitahu bahawa 98 peratus bacaan darah Raja Muhammad adalah sel kanser.

Ujarnya, hatinya luluh menerima perkhabaran itu kerana tidak menyangka penyakit yang ditakuti ramai itu menyerang anaknya.

"Masa kali pertama kali tahu anak sakit, saya sedih sangat kerana dialah satu-satunya anak tunggal lelaki saya dari lima beradik.

"Lagipun keadaan dia sihat saja selama ini. Tapi bila tengok dia kuat semangat, saya jadi lega sedikit, " katanya yang mempunyai lima anak berusia antara dua hingga 10 tahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Noor Baizurah berkata, disebabkan anaknya perlu berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur(HKL) untuk mendapatkan rawatan menyebabkan suaminya kerap mengambil cuti dan akhirnya telah diberhentikan kerja.

Katanya, dia sekeluarga kini menampung hidup dengan mengambil upah membuat kuih.

"Susah suami nak bekerja kerana anak kami masih dalam rawatan di HKL dan biasanya perlu buat ujian darah setiap minggu.

"Keadaan Raja Muhammad makin baik dan baharu sahaja selesai menjalani kimoterapi, namun sel darah putihnya masih lagi tinggi," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana jiran-jirannya banyak membantu selain turut mendapat bantuan susu khas untuk Raja Muhammad daripada Baitulmal.

Sebelum itu, Raja Muhammad diraikan dalam satu program dianjurkan badan bukan kerajaan(NGO) Caza Superheroes di sebuah pasar raya di sini.

Mengulas mengenai program berkenaan, Noor Baizurah berkata, Raja Muhammad sangat gembira apabila diberitahu yang dia akan berjumpa 'superhero' yang diminatinya.

"Dia minat sangat dengan Spiderman, Iron-man dan Kapten America. Jadi peluang sebegini setidak-tidaknya dapat memberi sedikit kegembiraan kepada dia yang kini bertarung dengan kanser," katanya.