Banjir berulang, keberkesanan projek mitigasi RM5.74 bilion dipersoal

Dari kiri: CP Goh, Hoi Eng dan Abolqaz menggesa kerajaan negeri mengkaji semula kadar bantuan berkaitan.
Dari kiri: CP Goh, Hoi Eng dan Abolqaz menggesa kerajaan negeri mengkaji semula kadar bantuan berkaitan.
A
A
A

SHAH ALAM – Peruntukan berbilion ringgit bagi projek mitigasi banjir di Selangor dipersoalkan apabila penduduk di beberapa kawasan masih berdepan ancaman banjir berulang meskipun pelbagai projek dilaksanakan.

Gabungan Parti Sosialis Malaysia (PSM) Selangor, Muda Selangor dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) mempersoalkan keberkesanan perbelanjaan peruntukan RM5.74 bilion bagi projek mitigasi banjir di negeri itu untuk tempoh 2021 hingga 2030.

Menurut kenyataan bersama tiga parti itu pada Rabu memaklumkan, hampir RM700 juta turut diluluskan bagi projek mitigasi banjir membabitkan Sungai Buloh dan Sungai Damansara, namun penduduk di kawasan itu masih berdepan risiko bencana berkenaan.

Kenyataan itu mengakui projek infrastruktur berskala besar memerlukan masa untuk disiapkan, namun rakyat berhak mengetahui jumlah peruntukan sudah dibelanjakan, projek yang selesai serta tempoh sebenar perlindungan dapat dinikmati penduduk.

"Berdasarkan jawapan bertulis kerajaan Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2026, bantuan bencana sedia ada merangkumi sehingga RM500 bagi isi rumah terjejas dan RM250 bagi mangsa banjir kilat yang layak tetapi tidak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS)," menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Timbalan Pengerusi PSM Selangor, CP Goh; Pengerusi Muda Selangor, Abolqaz Anuar dan Ketua Biro Aduan dan Kebajikan PRM, Lee Hoi Eng.

Sehubungan itu, mereka menggesa kerajaan negeri mengkaji semula kadar bantuan berkaitan, menyediakan bantuan membaiki rumah dan sewaan sementara serta memperluaskan sokongan pemulihan kepada peniaga kecil dan pekerja terjejas.

Mereka turut menggesa kerajaan Selangor dan kerajaan Persekutuan mendedahkan laporan kemajuan perbelanjaan mitigasi banjir, status pelaksanaan projek serta punca kelewatan, selain menilai semula kelulusan pembangunan dan penguatkuasaan syarat pengurusan air hujan.

"Penduduk berhak mendapat lebih daripada sekadar pengumuman peruntukan dan janji projek pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka berhak mendapat infrastruktur berkesan, perancangan pembangunan yang bertanggungjawab dan bantuan mencukupi apabila bencana berlaku," menurut kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, kejadian banjir baru-baru ini yang menjejaskan Kampung Melayu Subang, Sungai Buloh, Paya Jaras, Kubu Gajah, Rawang dan beberapa kawasan di Shah Alam sekali lagi mengganggu kehidupan penduduk Selangor.

"Keberkesanan mitigasi banjir mesti diukur berdasarkan sejauh mana ia melindungi rakyat, bukannya semata-mata berdasarkan jumlah wang yang diperuntukkan," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, mereka turut membangkitkan persoalan mengenai kesesuaian sistem saliran sedia ada dengan pembangunan pesat di Selangor yang berpotensi meningkatkan aliran air permukaan apabila kawasan tanah semula jadi digantikan dengan bangunan, jalan raya dan permukaan konkrit.

Selain itu, kenyataan itu menambah perlunya diwujudkan jawatankuasa bagi menyiasat kemungkinan pembangunan sedia ada atau baharu meningkatkan risiko banjir, selain menilai kecukupan sistem saliran, kemudahan takungan serta pematuhan pemaju terhadap syarat teknikal yang diluluskan.

Kenyataan itu turut menggesa hasil siasatan dan cadangan penambahbaikan didedahkan kepada orang ramai bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan risiko banjir.

Selain isu infrastruktur, ketiga-tiga parti itu turut mempersoalkan kecukupan bantuan kewangan kepada mangsa banjir khususnya keluarga yang perlu menanggung kos membaiki rumah, menggantikan peralatan elektrik, menyewa kediaman sementara dan kehilangan pendapatan.

Menurut mereka, berdasarkan jawapan bertulis kerajaan Selangor di DUN pada 2026, bantuan bencana sedia ada merangkumi sehingga RM500 bagi isi rumah terjejas dan RM250 bagi mangsa banjir kilat yang layak tetapi tidak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Justeru, mereka menggesa kerajaan negeri mengkaji semula kadar bantuan itu, menyediakan bantuan membaiki rumah dan sewaan sementara serta memperluaskan sokongan pemulihan kepada peniaga kecil dan pekerja yang terjejas.

"Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu mendedahkan laporan kemajuan perbelanjaan mitigasi banjir, status pelaksanaan projek serta punca kelewatan, selain menilai semula kelulusan pembangunan dan penguatkuasaan syarat pengurusan air hujan.

"Penduduk berhak mendapat lebih daripada sekadar pengumuman peruntukan dan janji projek pada masa hadapan.

"Mereka berhak mendapat infrastruktur yang berkesan, perancangan pembangunan yang bertanggungjawab dan bantuan mencukupi apabila bencana berlaku," menurut kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!