'Sudah lali hadapi limpahan air'

Tinjauan Sinar Harian mulai jam 6.30 pagi mendapati air sudah memenuhi jalan raya namun penunggang motosikal tetap melalui laluan tersebut.
Tinjauan Sinar Harian mulai jam 6.30 pagi mendapati air sudah memenuhi jalan raya namun penunggang motosikal tetap melalui laluan tersebut.
A
A
A

KLANG - Seorang pemuda yang diberi tanggungjawab menjaga Pintu Air Pandamaran 12 di Jalan Pandamaran - Banting di sini sudah lali dengan limpahan air berikutan fenomena air pasang besar.

Akmal Hakim, 32, yang mula bertugas di situ sejak awal tahun ini berkata, senario itu juga sudah biasa ditempuhi oleh penduduk dan pengguna jalan raya.

"Pengguna jalan raya yang melalui jalan ini sudah biasa, saya mula jaga kawasan ini pada tahun ini tetapi penduduk beritahu keadaan limpahan air memang sudah lama begini.

"Biasanya jika paras air laut meningkat setinggi 5.5 meter memang air melimpah ke jalan dan keadaan sama juga dijangka berlaku esok (Ahad)," katanya yang ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mulai jam 6.30 pagi mendapati air sudah memenuhi jalan raya namun penunggang motosikal tetap melalui laluan utama tersebut.

Seorang penunggang motosikal, Muhammad Kamal, 41, berkata, keadaan itu sudah menjadi perkara biasa baginya sejak mula bekerja di kawasan itu dua tahun lalu.

"Saya tinggal di Seksyen 7, Shah Alam dan bekerja di kilang dekat sini sejak dua tahun lalu dan dalam tempoh itu saya berulang alik serta perlu berhadapan dengan keadaan ini.

"Saya dah biasa dan kadang kala motosikal rosak secara tiba-tiba kerana air masuk ke bahagian enjin, tetapi lepas cuci palam pencucuh, motosikal dapat dihidupkan semula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pada jam 7.40 pagi, air didapati mulai surut perlahan-lahan dan keadaan laluan utama itu kembali seperti sedia kala serta pergerakan trafik mula lancar.