KPM harap sekolah di Kelantan hadapi masalah air tidak diabaikan

Fadhlina pada Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu pada Sabtu.
Fadhlina pada Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap sekolah yang berdepan masalah bekalan air tidak 'terpinggir' daripada peruntukan RM1 bilion yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan bagi membantu menyelesaikan perkara tersebut di negeri ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tindakan tersebut wajar bagi memastikan pelajar di sekolah yang terlibat mendapat bekalan air yang mencukupi terutama sepanjang tempoh cuaca panas ini.

"Sudah semestinya sekolah-sekolah akan mendapat tumpuan daripada peruntukan itu.

"Saya fikir wajar kita memberi tumpuan pada kemudahan asas," katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan di sini pada Sabtu.

Sebelum itu Sinar Online melaporkan kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang sudah menghantui rakyat Kelantan puluhan tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan tersebut disalurkan bermula tahun ini sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.