X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Malaysia sasar lepasi ranjau kumpulan di Bhubaneswar

Ahmad Najmi (tengah) pada sidang media pengumuman para pemain bagi kejuaraan Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A

SKUAD hoki remaja lelaki kebangsaan menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan dalam Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 di Bhubaneswar, India pada 24 November hingga 5 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, pihaknya meletakkan sasaran itu selepas pasukan berdepan kekangan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas yang menjejaskan persiapan pemain menjelang kejohanan di India itu.

“Sasaran kita lepas peringkat kumpulan dahulu malah saya berpesan kepada pemain kita ada tangga yang perlu didaki di India, kita lakukan satu persatu,” katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Bagaimanapun, Ahmad Najmi yakin skuad bimbingan Wallace Tan itu mampu menjelmakan prestasi terbaik di India susulan persembahan memberangsangkan ditampilkan dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 baru-baru ini.

Daripada keseluruhan lapan perlawanan di United Kingdom, Malaysia mencatat dua kemenangan, satu seri dan lima kekalahan dalam siri jelajah bermula 3 hingga 15 Oktober itu.

Dalam pada itu, Ahmad Najmi memaklumkan skuad kebangsaan yang dijangka berlepas ke India pada 16 November ini bakal berdepan sekurang-kurangnya tiga aksi pemanas badan sebelum kancah saingan Piala Dunia Remaja itu bermula.

Katanya, terdapat lima pasukan handalan dunia yang menyatakan minat untuk berdepan Malaysia dalam aksi pemanas badan itu iaitu Jerman, Belgium, Belanda, Sepanyol dan Perancis.

Ditanya sama ada pihaknya bimbang berhubung penularan kes Covid-19 di India sejak kebelakangan ini, Ahmad Najmi yakin penganjur telah membuat persiapan rapi bagi memastikan kesemua pasukan bebas daripada jangkitan wabak berkenaan malah memaklumkan barisan pemain telah mematuhi segala operasi prosedur standard (SOP) yang ditetapkan KHM di sini.

Dalam Piala Dunia Remaja Lelaki kali ini, laluan sukar menanti Malaysia apabila mereka diletakkan dalam Kumpulan A dan bakal membuka tirai perlawanan berdepan Chile pada 24 November diikuti pertembungan dengan naib juara 2016, Belgium pada 26 November dan menamatkan saingan kumpulan dengan Afrika Selatan sehari kemudian.

Senarai 20 pemain ke Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 di Bhubaneswar

1. Che Shahrul Azmi Che Saupi - Penjaga gol

2. Muhammad Hamiz Mohd Ahir - Penjaga gol

3. Syarman Mat Tee - Pertahanan

4. Muhammad Saifuddin Azli - Pertahanan

5. Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin - Pertahanan

6. Muhammad Amirul Hamizan Azahar - Pertahanan

7. Muhammad Arif Shafie Ishak - Pertahanan

8. Muhammad Zulfitri Md Zin - Pertahanan

9. Muhammad Faris Harizan - Tengah

10. Muhammad Hafifi Zainuddin - Tengah

11. Alfarico Lance Liau Jr - Tengah

12. Pavandip Singh Gurdip Singh - Tengah

13. Muhammad Syawal Abd Razak - Tengah

14. Muhajir Abdu Rauf - Penyerang

15. Muhammad Muhibuddin Moharam - Penyerang

16. Mohamad Akhimullah Anuar Esook (Kapten) - Penyerang

17. Muhammad Amirul Haniff Mamat - Penyerang

18. Muhammad Noor Firdaus Rosidi - Penyerang

19. Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee - Penyerang

20. Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul - Penyerang


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!