Wanita derita penyakit misteri

Keadaan kaki kiri Chitrawathy yang membesar.
Keadaan kaki kiri Chitrawathy yang membesar.
A
A
A

KLUANG - Seorang wanita di Taman Sri Jaya, di sini, terpaksa melupakan hasratnya untuk menjadi jururawat kira-kira 22 tahun lalu selepas kaki kirinya membesar kepada saiz luar biasa akibat penyakit misteri sekaligus membataskan pergerakannya.

K Chitrawathy, 42, berkata, penyakitnya itu bermula pada 1997 apabila kaki kirinya itu terkehel ketika pulang kerja di sebuah kilang di sekitar bandar Kluang sebelum keadaannya bertambah melarat sehingga kini.

"Selepas terkehel, saya cuba sapu minyak urut, namun tak sampai tiga jam kaki saya bertambah bengkak dan kemerah-merahan serta berdenyut-denyut sehinggakan saya demam dan dihantar ke Hospital Kluang.

"Sejak itu, kaki saya semakin membesar seperti sekarang dan hasil ujian darah serta pemeriksaan hospital gagal menemui penyakit saya ini malah tiada sebarang tanda ketumbuhan dan saya juga ada membuat ujian penyakit untut tetapi doktor tidak dapat mengesannya," katanya.

Dia ditemui semasa lawatan ADUN Mahkota, Mohd Said Jonit di rumahnya di Taman Sri Jaya, di sini, semalam.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, dia yang tinggal bersama bapanya, S Kuppusamy, 71, selepas kematian ibunya sejak beberapa tahun lalu kini hanya menghabiskan masanya di dalam rumah selain berniaga kecil-kecilan secara atas talian.

Katanya, akibat penyakitnya itu, dia perlu mengambil ubat pencair darah setiap hari bagi mengelakkan kakinya menjadi kebas selain bagi memudahkannya bergerak termasuk melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak dan sebagainya.

"Akibat terlalu kerap mengambil ubat pencair darah ini, terdapat darah beku di dalam paru-paru saya dan sejak dahulu, kaki saya ini tidak pernah menjalani sebarang pembedahan kerana doktor tidak berjaya mengesan penyakit saya ini.

Artikel Berkaitan:

"Doktor juga tidak mahu mengambil risiko kerana jika kaki saya dibedah atau dipotong, kemungkinan besar saya akan koma, lumpuh atau meninggal dunia kerana berat kaki kiri saya saja sekarang 70 kilogram dan keadaan ini memang menyukarkan saya," katanya.

Menurutnya, selain bergantung ubat hospital, dia juga berikhtiar dengan berubat secara tradisional di Benut, Pontian dan terpaksa menyewa teksi sekiranya mahu mendapatkan rawatan susulan di hospital kerana bapanya juga turut mengalami masalah kesihatan.

"Saya hanya bergantung bantuan bulanan RM400 daripada JKM," katanya.

Orang ramai yang ingin hulurkan sumbangan boleh hubungi Chitrawathy di talian 0183738827 atau salurkan ke akaun Maybank miliknya, 101066934848