Bayi lapan bulan derita penyakit kulit, masalah usus

Wan Zalilah (kiri) menunjukkan keadaan penyakit kulit yang dialami oleh anak kepada pasangan Muhammad Khairiel dan Norhaslina.
Wan Zalilah (kiri) menunjukkan keadaan penyakit kulit yang dialami oleh anak kepada pasangan Muhammad Khairiel dan Norhaslina.
A
A
A

TUMPAT - Pasangan orang kurang upaya (OKU) kategori lembam buntu memikirkan nasib bayi sulung mereka berusia lapan bulan yang menderita penyakit kulit sejak dilahirkan.

Lebih menyedihkan lagi apabila Muhammad Khair Haziq Muhammad Khairiel hanya mampu memakai lampin pakai buang sahaja susulan cuaca panas membahang yang sedang melanda ketika ini.

Cahaya mata kepada pasangan Muhammad Khairiel Mat Ariff, 24, dan Norhaslina Che Mud, 27, itu pada masa sama turut diuji dengan masalah usus serta lidah pendek.

Menurut Muhammad Khairiel, bayinya kini terpaksa bergantung kepada susu bernilai RM104 setin seberat 400 gram yang hanya bertahan selama empat hari.

Keluarga bayi alami sakit kulit menerima kunjungan The3rd Force di rumah sewa di Kampung Tanjong Kuala, Tumpat.
Keluarga bayi alami sakit kulit menerima kunjungan The3rd Force di rumah sewa di Kampung Tanjong Kuala, Tumpat.

"Susu ini perlu untuk merawat masalah kulit dan setiap bulan RM2,500 diperlukan bagi menyediakan kelengkapan tersebut.

"Itu belum lagi untuk lampin pakai buang dan kos berulang alik dua kali sebulan ke hospital di Kota Bharu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjong Kuala di sini.

Sebelum itu, keluarga tersebut menerima kehadiran The3rd Force yang diketuai oleh Wan Zalilah Shafie.

Ujarnya, sebagai pembantu kedai perkakasan rumah dengan pendapatan RM1,000 sebulan belum mencukupi untuk menampung rawatan anaknya walaupun menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450.

"Saya perlu bayar sewa rumah RM100 sebulan namun disebabkan situasi dihadapi, pemilik rumah beri kebenaran untuk tinggal di sini dan hanya bayar bila ada duit.Bayi lapan bulan derita penyakit kulit, usus, lidah pendek

"Saya juga rancang untuk ambil upah kutip sampah dari rumah ke rumah tapi ia sukar dilakukan kerana tidak mempunyai motosikal roda tiga. Hanya kerja seperti ini saya mampu lakukan kerana kami tidak boleh menulis dan membaca," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun RHB Bank 1-53016-0019745-8.