PRN Sarawak dalam tempoh 60 hari selepas darurat dibatalkan: SPR

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembatalan proklamasi darurat di negeri tersebut pada 3 November 2021.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 menetapkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah terbubar pada tarikh proklamasi darurat dibatalkan atau diungkaikan.

“Justeru, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut. Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Ikmalrudin memaklumkan bahawa SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menamatkan darurat di Sarawak pada Rabu.

Istana Negara dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda memberikan perkenan untuk menamatkan darurat di Sarawak selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka Baginda kepada penamatan proklamasi darurat itu merupakan satu keputusan sukar dan rumit dengan mengambil kira tahap penularan wabak Covid-19 yang masih membimbangkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia telah diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan negeri yang baharu.

Azuan Effendy turut memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah terlebih dahulu berkenan menerima menghadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Istana Negara pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia bagi menyampaikan hasrat dan permohonan kerajaan negeri Sarawak agar proklamasi darurat bagi negeri itu dapat ditamatkan.

Selain itu, Seri Paduka Baginda pada Rabu turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk Mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara.

Penggal DUN Sarawak yang sepatutnya dibubarkan pada 6 Jun lalu terpaksa ditangguhkan berikutan pengisytiharan proklamasi darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.