Sekarang dah boleh bebas bercakap, kata Nazri

Nazri
Nazri
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjelaskan kini beliau bebas untuk bercakap soal perpaduan Melayu-Islam melalui kerjasama UMNO-Pas selepas digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung BN.

Beliau berkata, pengguguran jawatan itu selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini sedikitpun tidak mengguris perasaan malah memberi kesenangan buat dirinya.

“Saya tiada masalah. Sekarang saya senang sikit sebab saya, seorang manusia, ahli politik yang bebas bercakap. Yang lantang. Jadi jawatan itu mengikat saya daripada bercakap benar. Sebab itu dari dulu saya tidak suka bertanding apa-apa jawatan.

“Sekarang saya sudah lega. Boleh bercakap apa sahaja. Kalau saya jadi setiausaha, susah saya nak konsisten. Sebab itu saya suka bebas untuk bercakap tentang Melayu-Islam dan memperkukuhkan UMNO-Pas,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ku Nan setiausaha BN, bukan Nazri'

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN sepakat mengembalikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung BN kerana beliau tidak pernah meletakkan jawatan yang disandangnya sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang antara lain menyatakan pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN selepas PRU14 itu tidak diperakukan oleh semua komponen BN.

Cuma harapan Nazri, jawatan tersebut seeloknya diberikan kepada bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Artikel Berkaitan:

“Bukan bermakna Ku Nan (Tengku Adnan) tidak layak tetapi Hishamuddin merupakan pemimpin senior. Beliau juga tidak memiliki sebarang jawatan.

“Andai jawatan itu diberikan kepada Hishamuddin, saya percaya BN akan lebih kuat,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, sebagai seorang yang tidak memiliki sebarang jawatan dalam BN, fokus politiknya kini hanya untuk agenda Melayu-Islam.

“Keutamaan politik saya pada hari ini adalah agenda Melayu-Islam melalui bekerjasama dengan Pas. Jadi saya tengok, kalau kita ada kerjasama dengan Pas, kita boleh menang lebih 100 kerusi dalam PRU15 nanti.

“Agenda Melayu-Islam penting sebab dalam dua PRK sebelum ini (Cameron Highlands dan Semenyih), apabila UMNO dan Pas bergabung, kita menang. Kalau Melayu bersatu, kita boleh menang dan tubuh kerajaan,” katanya.