Syarikat bawa keluar wang ke pusat kewangan luar pesisir tidak aktif

Yamani Hafez
Yamani Hafez
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat-syarikat yang membawa keluar wang dan modal mereka dari negara ini berjumlah RM1.8 trilion ke pusat kewangan luar pesisir pantai seperti yang disebutkan dalam Kertas Pandora adalah syarikat yang tidak aktif.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, syarikat itu tidak aktif kerana tiada suntikan saham, suntikan aset dan agihan dividen yang direkodkan.

"Modal yang ada dalam syarikat tersebut adalah di bawah pengetahuan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di mana cukai ke atasnya telah dibayar," katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) tentang mengapa dalam tempoh 2004 sehingga 2014, kira-kira 1,500 rakyat Malaysia telah membawa keluar wang dan modal mereka ke pusat-pusat kewangan luar pesisir seperti Singapura, British, Virgin Island yang didedahkan Kertas Pandora.

Kertas Pandora adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Hassan sebelum itu turut meminta kerajaan menyatakan pendirian sama ada akan melaksanakan Cukai Keuntungan Modal dan Cukai Harta Pusaka sebagai langkah untuk menambahkan hasil negara.

Yamani Hafez berkata, setakat ini kerajaan belum melaksanakan Cukai Keuntungan Modal secara menyeluruh termasuk mengenakan cukai ke atas keuntungan dari pasaran modal.

Jelasnya, kerajaan juga tidak bercadang untuk memperkenalkan semula sama ada Cukai Harta Pusaka atau Cukai Warisan sebagai langkah menambahkan hasil negara.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, melalui ucapan Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu, kerajaan telah mengumumkan beberapa cadangan untuk menambahkan kutipan hasil antaranya, meningkatkan kadar duti setem dari 0.1 peratus sehingga 0.15 peratus bagi nota kontrak jual-beli saham tersenarai di Bursa Malaysia berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022.

"Kenaikan kadar duti setem ini akan diimbangi dengan pengecualian cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus ke atas perkhidmatan pembrokeran berkaitan dagangan saham tersenarai," katanya.