Dadah bernilai lebih RM58 juta dilupuskan

Mazlan (kanan) bersama Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan menunjukkan eksibit kes dadah yang akan dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh pada Selasa.
Mazlan (kanan) bersama Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan menunjukkan eksibit kes dadah yang akan dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Polis Perak melupuskan pelbagai dadah bernilai lebih RM58 juta membabitkan 4,991 kertas siasatan sepanjang tempoh 33 tahun.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai berkata, pelupusan itu melibatkan 10 jenis dadah seberat 1,561.4 kilogram (kg), daun ketum (2,773.7 kg) dan 1.7 juta liter cecair ketum serta ubat batuk.

"Pelupusan barang Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak ini merupakan kes-kes dari 15 daerah membabitkan kertas siasatan sejak tahun 1988 bagi kes-kes yang telah selesai perbicaraan.

"Antara dadah yang dilupuskan adalah ganja seberat 699 kg, heroin (413 kg), syabu (34 kg), ketamin (1.2 kg), ecstasy (21.86 gram) dan 57 gram eramin 5," katanya pada sidang akhbar Majlis Pelupusan Barang Kes Narkotik JSJN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini pada Selasa.

Menurutnya, kerja-kerja pelupusan itu akan dijalankan oleh sebuah syarikat di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Mazlan berkata, seramai 1,752 individu telah diambil tindakan sepanjang tempoh Januari hingga September lalu dalam usaha pembanterasan ke arah pengurangan bekalan dadah.

"Usaha sama dijalankan bagi membanteras pengurangan permintaan memiliki dadah dengan seramai 3,721 orang telah diambil tindakan manakala pengurangan positif urin pula melibatkan 1,598 orang.

"Pada masa sama, sebanyak 3,777 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,543 kertas siasatan telah dituduh iaitu pencapaian sebanyak 94 peratus," katanya.

Artikel Berkaitan: