Senyuman bapa tunggal, harapan suri rumah

Tengku Zafrul Abdul Aziz -Foto Bernama
Tengku Zafrul Abdul Aziz -Foto Bernama
A
A
A

RAMAI yang gembira dengan pengumuman Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu.

Namun, tidak kurang juga yang mengeluh kerana tercicir dalam senarai penerima manfaat Bajet 2022. Bagi golongan B40, sudah pasti mereka antara yang paling beruntung kerana inisiatif kerajaan banyak disediakan bagi membantu memulihkan pendapatan akibat Covid-19.

Di sebalik itu, terdapat satu kumpulan yang sering terpinggir dalam inisiatif bajet kerana golongan berkenaan dirasakan sangat kecil dan mampu menguruskan hidup dengan mudah iaitu bapa tunggal.

Menerusi inisiatif bantuan tunai langsung dan kebajikan, kerajaan memberikan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM500 kepada ibu dan bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dengan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.

Malah, jika menanggung lebih tiga anak dengan pendapatan RM2,500 sebulan, mereka boleh menerima bantuan sehingga RM2,500 seperti yang diperuntukkan.

Kekejaman Covid-19 meragut ramai ibu yang menjadikan suami mereka duda serta-merta tanpa sebarang persediaan untuk menguruskan anak-anak.

Bukan mudah menjadi bapa tunggal, apatah lagi ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi dan kehilangan pendapatan, ditambah perlu melaksanakan dua tanggungjawab berseorangan. Jika berkemampuan mungkin boleh mengambil pembantu untuk menguruskan rumah dan anak-anak tetapi sebaliknya buat golongan berpendapatan rendah.

Ia pastinya memberikan kesan emosi dan mental kepada bapa tunggal untuk menguruskan anak-anak terutama yang masih kecil, selain terpaksa mencari rezeki.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dengan sokongan kewangan daripada kerajaan, golongan bapa tunggal dalam kumpulan B40 boleh menghela nafas lega untuk membesarkan anak-anak biarpun serba kekurangan.

Bantuan untuk golongan bapa tunggal tidak harus terhenti di situ sahaja kerana mereka masih memerlukan sokongan emosi dan persediaan mental.

Naluri bapa tidak sama dengan ibu yang sangat teliti dalam segala hal berkaitan anak-anak. Jika ditanya kepada lelaki, dia tidak pernah kisah tentang baju yang dipakai dua hari lepas, baju berkedut atau warna sedondon.

Berbanding ibu tunggal, mereka memang sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan. Menariknya Bajet 2022 kali ini, taraf golongan wanita secara keseluruhannya diangkat ke satu tahap lebih baik dengan pelbagai inisiatif disediakan.

Namun, masih ada kumpulan wanita yang melihat mereka kurang mendapat tempat iaitu suri rumah. Golongan itu juga mahu dihargai kerana peranan besar mereka dalam menguruskan rumah tangga.

Ketika pandemik, beban ditanggung suri rumah amat besar selain menguruskan keluarga, mereka juga terpaksa menjadi guru memantau sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Mungkin ada yang melihat tugas sebagai suri rumah mudah kerana sentiasa berada di rumah tetapi kerja di dalam rumah tidak pernah habis dan tiada cuti.

Jadi, amatlah wajar jika kerajaan dapat memberi penghargaan kepada golongan itu dengan memberi wang saku yang dikreditkan di dalam Shopee seperti bantuan RM150 ke dalam e-dompet kepada belia.

Sekurang-kurangnya, terubat juga penat lelah mereka apabila melihat syarikat kurier menghantar barang ke rumah.

Bagi suami yang ada rezeki lebih, berkongsilah dengan isteri bagi menghargai pengorbanan dan kepayahan mereka menguruskan anak-anak yang sangat mencabar terutama sepanjang tempoh pandemik.

Inilah semangat Keluarga Malaysia yang perlu saling menghargai dan bertolak ansur dalam rumah tangga.

Apa yang pasti, setiap bajet diumumkan kerajaan pastinya mahu melihat segenap lapisan rakyat dan setiap golongan merasai nikmat kemakmuran secara bersama.

Apa pun, setiap keputusan diumumkan pasti ada kelemahan dan kekurangan yang boleh diperbaiki dari masa ke masa.

Hakikatnya, sebarang perubahan atau penyesuaian tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak disebabkan pelbagai kekangan terutama membabitkan sumber kewangan.

* Saifullah Ahmad ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Perak