[VIDEO] Suri rumah menangis ketika didakwa abai anak asuhan hingga cedera

Nor Huzaimah dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas dibenar ikat jamin RM5,000.
Nor Huzaimah dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas dibenar ikat jamin RM5,000.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang suri rumah menangis teresak-esak ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad, atas pertuduhan mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak asuhannya pada Mac lalu.

Tertuduh, Nor Huzaimah Herman, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Nor Huzaimah didakwa mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di bawah pemeliharaan.

Kesalahan itu dilakukan di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah, lebih kurang jam 11.30 pagi pada 21 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha'ari dan Nurhayati Muhammad, manakala tertuduh diwakili peguam, R Sangaran dan Allan Lim.

Sebelum itu, Nurul Syafiqah tidak menawarkan sebarang ikat jamin memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan satu jumlah jaminan yang tinggi iaitu RM15,000 sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

R Sangaran kemudiannya memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan wanita itu mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah selain suami tertuduh juga hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan hanya RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 selain perlu melaporkan diri setiap bulan di Balai Polis Pelangi Indah dan menetapkan 3 Julai depan untuk penyerahan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Ssbelum itu, pada Sabtu tular di Facebook pemilik akaun 'Nor Huzaimah Herman Emma' yang dipercayai adalah tertuduh, memohon sumbangan orang ramai bagi membayar ikat jamin dan membiayai kos peguam.

Wanita berkenaan turut menceritakan kronologi kisah beliau menjaga dua beradik yang juga anak kepada seorang wanita berasal dari Sabah, sejak November lalu, yang dianggap seperti anaknya sendiri.

Seorang daripada dua anak asuhannya itu iaitu mangsa dalam kes berkenaan didakwa telah terhempap basikal pada 21 Mac lalu sebelum cedera dan kemudian dilaporkan meninggal dunia pada 28 Mac lalu.