Satu PPS baharu dibuka di Kedah

Anggota APM Daerah Kota Setar menggunakan bot untuk membantu mangsa terjejas di mukim Langgar dan Limbong. - Foto APM Kedah
Anggota APM Daerah Kota Setar menggunakan bot untuk membantu mangsa terjejas di mukim Langgar dan Limbong. - Foto APM Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Satu pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka berikutan kejadian banjir di negeri ini menjadikan keseluruhan 11 PPS yang menempatkan 523 mangsa daripada 153 keluarga sehingga Ahad.

Ketua Bahagian Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar menjadi lokasi PPS baharu dibuka di negeri ini.

"Seramai 20 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan ke PPS SK Langgar menjadikan keseluruhan mangsa seramai 523 orang ketika kini berbanding 503 orang setakat jam 4 petang tadi.

"Setakat ini, satu PPS masing-masing dibuka di Kota Setar dan Pendang, dua di Pokok Sena serta tujuh lagi di Baling," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Mohd Zain Bahrum berkata, PPS baharu di daerah Kota Setar dibuka di SK Langgar pada jam 6 petang.

Beliau berkata, antara kawasan terjejas termasuk Kampung Tanjung Inggeris dan Kampung Limbong di mukim Limbong di sini.

"Selain itu Kampung Alor Setol, Kampung Pokok Asam, Kampung Alor Jawi, Kampung Alor Jadi, Kampung Alor Keladi, Kampung Alor Rela, Kampung Guar dan Kampung Jalan Makam di mukim Langgar turut dinaiki air," ujarnya.

Artikel Berkaitan: