Bajet 2022 perkasa pasukan keselamatan: Hamzah

Hamzah
Hamzah
A
A
A

MELAKA - Bajet 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam akan memperkasa pasukan keselamatan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mendepani cabaran baharu ketika negara masih lagi bergelut dengan ancaman Covid-19, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan sebelum Bajet 2022 dibentangkan agar kerajaan memberi keutamaan kepada PDRM untuk menyusun strategi terbaik menghadapi sebarang ancaman yang dicetuskan pandemik.

"Kita nak kedudukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diberikan keutamaan kerana berdasarkan pengalaman tahun lepas, penugasan yang telah diberikan, tiba-tiba banyak perkara baharu (berlaku). Contohnya Op Benteng, bagaimana nak jaga sempadan.

“Dulu-dulu kita tak ada strategi untuk Op Benteng, sekarang kita dah tahu mana tak cukup dan mana perlu buat tambahan. Kita buat strategi dan bentang kepada Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Hamzah berkata, pewartaan empat pintu masuk imigresen baharu dan pembinaan lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah dan Sarawak juga merupakan antara strategi baharu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha membasmi masalah di sempadan negara.

Pada Jumaat Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 berkata RM230 juta diberikan kepada anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menjaga kebajikan mereka dan RM13 juta bagi memperkasa Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM.

Sementara itu merujuk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Hamzah yang merupakan Setiausaha Agung Bersatu berkata pihaknya mengambil maklum keputusan UMNO untuk meneruskan persefahaman dengan Pas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam masa yang sama beliau memahami maksud tersurat ketika Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan tidak menyebut nama Bersatu dalam sidang medianya yang diadakan malam Khamis lepas.

"Setiausaha Agung UMNO tak sebut pun nama parti saya Bersatu. Kalau daripada pemahaman kita orang biasa, makna apa? Maknanya dia (UMNO) tak mahu bekerjasama dengan Bersatu. Yang tersirat, itu saya tak faham....Saya tak faham bab tersirat, saya hanya faham bab tersurat," katanya.

Khamis lepas, UMNO memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka, 20 Nov ini selaras ketetapan Perhimpunan Agung parti itu tahun lepas yang antara lain untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk antara dua parti berkenaan. - Bernama