X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 05 Disember 2021

Tiada perjumpaan dengan Agong semalam: Abang Johari

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ditemu ramah oleh pengamal media selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di Dewan Serbaguna Kampung Samariang Batu Petra Jaya hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUCHING - Tiada sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 (PRN12) semalam, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, beliau hanya berpeluang menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum ini.

“Tiada perjumpaan (dengan Yang di-Pertuan Agong). Cuma ada berjumpa dengan Timbalan Yang di-Pertuan Agong (sebelum ini).

“Agong kita baru sahaja kembali ke tanah air, jadi Agong masih lagi nak melihat maklumat yang ada (membuat penilaian) dan selepas itu Yang Dipertua Negeri (Tun Abdul Taib Mahmud) akan menghadap Agong,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi membincangkan mengenai PRN Sarawak semalam.

Ogos lepas, perintah darurat dikuatkuasakan di Sarawak bagi membendung penularan Covid-19 susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak sekali gus menyebabkan PRN12 tidak boleh diadakan meskipun tempoh DUN tamat Jun lepas.

Perintah Darurat di Sarawak dijadual tamat pada 2 Februari 2022. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!