Pasung, waran tangkap kongsi gelap Cina dipamer di Muzium Perak

Zarinah menunjukkan poster sempena Pameran Taiping Retrospektif Sejarah di Muzium Perak yang bakal dibuka kepada umum, 20 November ini.
Zarinah menunjukkan poster sempena Pameran Taiping Retrospektif Sejarah di Muzium Perak yang bakal dibuka kepada umum, 20 November ini.
A
A
A

TAIPING - Pasung, syiling bijih timah dan waran tangkap ke atas kumpulan kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin antara artifak yang akan dipamerkan pada Pameran Taiping Retrospektif Sejarah di Muzium Perak di sini November ini.

Pameran berkenaan adalah bersempena pembukaan semula Muzium Perak pada Selasa ini, selepas hampir enam bulan ditutup akibat pandemik Covid-19.

Pengarah Muzium Perak, Zarinah Sarifan berkata, pameran yang dibuka kepada umum bermula 20 November itu menonjolkan koleksi daripada pelbagai agensi kerajaan semasa era zaman pemerintahan British dan gambar-gambar berkaitan bandar Taiping yang jarang dipamerkan sebelum ini.

"Kami mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai agensi seperti Muzium Telegraf, Muzium Polis, Penjara Taiping, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan hospital bagi membawa koleksi barangan sejarah ini untuk dipamerkan di Muzium Perak buat pertama kali.

"Ini termasuklah dokumen waran tangkap terhadap dua kumpulan kongsi gelap Cina ketika peristiwa perebutan kawasan bijih timah di daerah Larut, gari lama, pasung, tali gantung dan pakaian Polis Perak Sikh (Pasukan Polis Bersenjata Negeri Perak yang mempunyai ciri-ciri tentera, dianggotai oleh sebahagian besar orang-orang Sikh)," katanya ketika sidang akhbar di Muzium Perak di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, persiapan pameran itu kini di peringkat akhir dan diyakini dapat menarik kehadiran lebih 5,000 pengunjung baharu sehingga akhir tahun ini.

Katanya, sepanjang Januari hingga April lepas, Muzium Perak merekodkan kehadiran pengunjung seramai 11,027 orang iaitu 21 peratus daripada sasaran sebenar keseluruhan 50,000 orang.

Bagaimanapun jelasnya, pengunjung maya mencatat 20,099 orang, menunjukkan pelaksanaan program secara dalam talian mendapat sambutan walaupun muzium tidak dibuka sepanjang tempoh pandemik.

Artikel Berkaitan:

"Kami harap pameran ini dapat menyemarakkan kembali pelancongan domestik negara selaras dengan pengumuman pihak kerajaan berhubung kebenaran rentas negeri dan aktiviti lawatan ke muzium," katanya.

Mengulas mengenai pembukaan semula Muzium Perak bermula 2 November ini, Zarinah berkata, ia masih mengekalkan bayaran tiket kemasukan iaitu RM2 bagi warganegara dewasa dan percuma bagi kanak-kanak warganegara berusia 12 tahun ke bawah selain waktu lawatan masih sama iaitu Isnin hingga Ahad bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang.

Menurutnya, kehadiran secara terus (walk-in) adalah diterima, namun orang ramai digalakkan mendaftar melalui sistem janji temu di laman web Jabatan Muzium Malaysia bagi mengelak kesesakan.

"Jumlah pelawat yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa ke dalam galeri pameran adalah terhad untuk 60 orang sahaja dan buat masa ini, sebarang lawatan berkumpulan atau lawatan berpandu adalah tidak dibenarkan.

"Kakitangan muzium akan ditempatkan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pengunjung bagi mengelak sebarang risiko penularan Covid-19," katanya.