936 gambar tangkap layar sejarah layari laman sesawang lucah dalam telefon bimbit

Ebit Lew - Foto Bernama
Ebit Lew - Foto Bernama
A
A
A

TENOM - Seorang saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa sebanyak 936 gambar tangkap layar mengenai sejarah melayari laman sesawang berunsur lucah diperoleh hasil analisisnya daripada sebuah telefon bimbit.

Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM), Latifah Abdul Aziz, 43, berkata, daripada jumlah itu 146 gambar tangkap layar adalah berunsur lucah.

"Saya mohon untuk merujuk gambar tangkap layar yang pertama dan terakhir, tempoh sejarah yang berjaya dikenal pasti bermula pada 14 Jun 2020 hingga 19 Ogos 2021," kata saksi ketujuh pendakwaan itu.

Latifah turut memaklumkan beliau juga diarahkan untuk menjalankan analisis bagi sebuah lagi telefon bimbit dan menemui lapan imej berunsur lucah.

Beliau berkata, imej-imej itu adalah daripada aplikasi WhatsApp dan mendapati hanya satu imej sahaja yang mempunyai penambahan pelekat aplikasi WhatsApp.

Semalam, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa laman sesawang itu diakses daripada aplikasi Google.

Pada prosiding hari ini, peguam Ebit Lew, Ram Singh membantah soalan daripada pihak pendakwaan kepada saksi mengenai sejarah carian menerusi Google.

Peguam itu berkata, beliau berpendapat tiada bukti dalam sejarah carian melalui Google bahawa sesebuah laman sesawang sebenarnya dilawati sebagaimana dikatakan saksi.

Ram Singh berkata, terlalu banyak carian dibuat di dalam telefon bimbit itu yang dianalisis saksi dan tidak relevan kepada pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria berkata, pihak pendakwaan ingin mengemukakan keterangan yang relevan dengan pertuduhan merujuk kepada carian Google berunsur lucah pada tarikh-tarikh pertuduhan.

Zahida berkata, keterangan itu penting untuk menunjukkan perbuatan dan keadaan tertuduh pada tarikh-tarikh tersebut yang melayari laman sesawang berkenaan sebelum menghantar mesej berunsur lucah kepada pengadu.

Ebit Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Tangkap layar perbualan Ebit, pengadu didedahkan