Bekas Naib Presiden MBSB didenda RM22,000 gagal lapor rasuah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas Naib Presiden Bahagian Perolehan Korporat dan Pemulihan Projek Malaysia Building Society Bhd (MBSB) didenda RM22,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, kerana tidak melaporkan sogokan berjumlah RM3,000 yang diterimanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lima tahun lepas.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap Norhayati Mohd Daud, 61, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya.

Tertuduh didakwa sebagai Naib Presiden Bahagian Perolehan Korporat dan Pemulihan Projek MBSB, telah diberikan satu suapan wang berjumlah RM3,000 menerusi satu akaun bank miliknya daripada Pengarah Syarikat Residenmas Development Sdn Bhd (RDSB) Mohd Noor Siden, 59, kerana tertuduh mencadangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MBSB untuk meluluskan permohonan menukar jaminan kewangan (financial guarantee) berjumlah RM60 juta kepada bridging loan (pinjaman penyambung) berjumlah RM10 juta kepada syarikat RDSB.

Oleh itu, tertuduh didakwa melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 kerana tidak melaporkan kesalahan penyogokan itu kepada pihak SPRM.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Menara Maybank Jalan Tun Perak di sini, pada 3 Feb 2016, mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama yang boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya.

Norhayati yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda tidak melebihi RM10,000 kerana dia menanggung seorang adik dan anak saudara, selain dalam kejadian itu dia telah ditipu oleh Mohd Noor.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, tertuduh telah menyesal dengan perbuatannya dan pihak pendakwaan mengucapkan terima kasih kepada wanita itu kerana telah mengaku bersalah semasa kali pertama pertuduhan dibacakan.

“Bagaimanapun, mahkamah perlu mempertimbangkan jawatan dan amanah yang telah diberikan kepada tertuduh. Dia telah mengkhianati jawatan tersebut dan hukuman setimpal perlu diberikan kepadanya.

Artikel Berkaitan:

“Hukuman penjara tidak sesuai bagi kesalahan pertama dan ia melibatkan jumlah yang sikit, namun mahkamah perlu beri mesej kepada masyarakat untuk melaporkan apa-apa perbuatan rasuah kepada SPRM kerana SPRM tidak boleh bergerak dengan sendiri,” kata Wan Shaharuddin. - Bernama