Mohd Shuhaily tiba di mahkamah bagi sebutan semula kes cederakan dua anggota polis

SEPANG - Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tiba di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu bagi sebutan semula kes membabitkan pertuduhan mencederakan dua anggota polis.
Beliau tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.20 pagi dengan memakai sut berwarna biru gelap dan ditemani Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Pada 21 Oktober lepas, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa mencederakan Mohamad Faiz Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lepas.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah sebelum ini membenarkan Mohd Shuhaily diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain mengarahkannya hadir pada setiap prosiding perbicaraan kes berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
