Syarat caruman Perkeso bukan bebanan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SARANAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang menjadikan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai prasyarat untuk memperbaharui lesen e-hailing atau p-hailing di negara ini bukan bertujuan menyukarkan pekerja sektor gig.

Sebaliknya ia bertujuan membantu mereka kerana kebanyakan pekerja dalam sektor ekonomi gig tersebut merekodkan kadar musibah yang sangat tinggi, terutama nahas jalan raya.

Justeru, aspek perlindungan sosial harus diperkukuhkan.

Menurut Saravanan, buat masa ini caruman tahunan pertama dibiayai secara padanan dengan 70 peratus menerusi subsidi kerajaan manakala selebihnya oleh pekerja.

Oleh itu, beliau berharap Kementerian Kewangan menerusi pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini bersetuju untuk terus memberikan subsidi bagi tahun pertama pelaksanaan dasar tersebut atau sekurang-kurangnya memperuntukkan caruman padanan yang sesuai sebagai pelaksanaan berperingkat.

Apa pun, cadangan itu masih diteliti menerusi kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan demi memastikan keselamatan pekerja di sektor berkenaan sentiasa dilindungi.

Sebelum ini, media melaporkan tahap kesedaran untuk mencarum dalam kalangan individu yang terbabit dalam industri e-hailing dan p-hailing masih rendah.

Misalnya di Johor, tidak sampai 50 peratus individu yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan seperti teksi, e-hailing dan kereta sewa di negeri tersebut mencarum dengan Perkeso.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang berkata, daripada lebih 5,000 orang yang terlibat dalam perkhidmatan itu, hanya seramai 2,374 yang telah mencarum dan daripada jumlah tersebut hanya seramai 504 orang melibatkan pemandu teksi.

Pada Jun lalu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed mendedahkan kesedaran mencarum masih kurang.

Katanya, sejak Januari 2020 hingga kini, hanya tujuh peratus atau 28,425 pekerja ekonomi gig berdaftar dengan Perkeso daripada sasaran iaitu 400,000 pekerja.