X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Bas elektrik di Wangsa Maju bermula 1 November: Shahidan

Shahidan (kir) ketika melancarkan Bas Elektrik dan Laluan Baharu Bagi Perkhidmatan Bas Percuma GoKL di sini pada Khamis.
A
A

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan bas percuma GoKL akan mengaplikasikan penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV) sebagai usaha ke arah pengurangan karbon di ibu negara menjelang tahun 2030.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sebagai perintis, sebuah bas elektrik akan mula beroperasi di Wangsa Maju 1 November ini iaitu perintis kepada perbandaran sifar karbon pertama di Kuala Lumpur.

"BEV merupakan satu pelan tindakan yang akan dilaksanakan secara bersasar di sekitar Kuala Lumpur.

"Sejajar dengan itu, reka bentuk dan warna balutan luar turut diperbaharui dengan membawa tema hijau yang dilihat ke arah gaya hidup lebih sihat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bas Elektrik dan Laluan Baharu Bagi Perkhidmatan Bas Percuma GoKL di sini pada Khamis.

Shahidan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan penggunaan BEV sepenuhnya di semua laluan perkhidmatan bas percuma GoKL pada awal tahun 2023.

"Bilangan bas elektrik ini akan ditambah secara berjadual dari semasa ke semasa dan sebuah bas elektrik mampu melengkapkan perjalanan sehingga 250 kilometer (km) untuk sekali pengecasan," katanya.

Pada masa sama, Shahidan berkata, perkhidmatan bas percuma GoKL turut memperkenalkan dua laluan baharu iaitu laluan Hijau Serindit dan laluan Kelabu bermula 1 November ini.

"Laluan Hijau Serindit sepanjang 13.8 km ini akan bermula dari Hab Transit Aliran Massa (MRT) Terminal Maluri ke Bandar Sri Permaisuri manakala Laluan Kelabu sepanjang 16.7 km pula akan bermula dari MRT Cochrane ke Bandar Tun Razak.

"Dua laluan baharu ini diwujudkan bagi memberi penumpang membuat banyak pilihan dengan melakukan pertukaran mod pengangkutan daripada bas kepada penggunaan rel," katanya.

Beliau berharap agar perkhidmatan bas percuma itu dapat mengurangkan beban kehidupan warga kota dan kesesakan jalan raya di samping merealisasikan bandar raya bebas karbon serta sihat didiami pada masa hadapan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!