X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Ketua Menteri, Speaker, SUK Pulau Pinang terima suntikan dos penggalak

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bersama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Law Choo Kiang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar antara tiga pimpinan utama kerajaan Pulau Pinang yang menerima suntikan dos penggalak Covid-19.

Selain mereka bertiga, barisan Exco Pulau Pinang turut menerima suntikan itu di Hospital Pulau Pinang pada tengah hari, Rabu.

Bagaimanapun, empat Exco iaitu Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo, Exco Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin dan Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee tidak menerima suntikan berkenaan.

Kon Yeow berkata, kesemua mereka belum cukup tempoh enam bulan daripada tarikh suntikan kedua, masalah kesihatan dan komitmen yang tidak dapat dielakkan.

Tambahnya, sehingga Selasa, jumlah penerima dos penggalak peringkat Pulau Pinang ialah 7,808 orang.

"Janji temu juga telah mula diberikan kepada mereka yang layak menerusi aplikasi MySejahtera di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) membabitkan 46 klinik swasta dan lapan hospital swasta tersenarai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melakukan pemantauan rapi terhadap keberkesanan dos penggalak yang dilaksanakan.

"Kerajaan negeri menegaskan bahawa suntikan dos penggalak adalah wajar dipercepatkan demi keselamatan serta kesihatan rakyat Pulau Pinang.

"Selain itu, ia juga bagi memastikan tidak berlaku laporan kes terutama membabitkan kemasukan ke hospital secara mendadak," katanya.

Dalam pada itu, bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK) Remaja, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang mencatatkan 89.7 peratus untuk suntikan dos pertama sehingga Selasa.

"Bagi dua dos (lengkap) pula, kita mencatatkan 75 peratus.

"Dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi berkaitan, kerajaan negeri bersama JKNPP, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) menggunakan pelbagai pendekatan antaranya ziarah cakna, panggilan individu, promosi kesihatan menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari masa ke masa," katanya.

Tambah beliau, walaupun laporan kes harian menunjukkan trend penurunan, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan JKNPP berhubung laporan kemasukan ke hospital dan juga kematian harian.

Katanya lagi, turut menjadi keutamaan ialah kapasiti hospital serta kelengkapan kemudahan perubatan di negeri ini termasuk pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!