Guan Eng, tak guna ‘berperang’!

No Image Caption
A
A
A

APABILA kita guna perkataan ‘berperang’ terhadap orang lain, ia tentu mendatangkan implikasi yang buruk.

Itulah berlaku pada kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kelmarin apabila mendakwa kerjasama UMNO dan Pas sebagai ‘pengisytiharan perang’ terhadap masyarakat bukan Melayu.

Biarpun Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan kedua - dua jam selepas kenyataan pertama itu - dengan memperbetulkan istilah ‘pengisytiharan perang’ itu kepada ‘menyasarkan’, namun bak kata orang, nasi telah menjadi bubur.

Akhirnya ‘peperangan’ pun tercetus. UMNO dan Pas mahu Guan Eng mohon maaf dan letak jawatan segera. Mereka juga desak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memecatnya sebagai Menteri Kewangan.

Sebagai pemimpin yang berpengalaman, Guan Eng perlu bijak untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang mampu menimbulkan ketegangan antara kaum.

Apakah Guan Eng rasa PH semakin tergugat dengan kerjasama UMNO-Pas setelah PH kalah dalam PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih?

Politik Malaysia kini memasuki lembaran baharu apabila hubungan UMNO dan Pas semakin intim. Apabila berlaku senario ini, ia sudah pasti mengancam PH.

Seandainya kerjasama UMNO dan Pas ini diterima oleh pengundi Melayu, tidak mustahil kedua-dua parti ini mampu menumbangkan PH pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Keadaan ini sebenarnya tidak mahu dilihat oleh pemimpin-pemimpin PH, termasuk Guan Eng sendiri. PH seboleh-bolehnya mahu menyekat pengaruh UMNO dan Pas.

Namun Guan Eng patut sedar parti yang hanya menjaga kepentingan sesuatu kaum kini tidak lagi popular seperti sebelum ini.

Kerjasama UMNO dan Pas ini tidak perlu ditakuti oleh pemimpin-pemimpin PH. Guan Eng sepatutnya rasa bangga kerana empat parti komponen dalam PH dianggotai oleh pelbagai kaum.

Dalam PRU14, rakyat memberi mandat kepada PH dengan harapan kerajaan baharu mampu melakukan perubahan. Rakyat terutama sekali golongan bukan Melayu turut menolak Pas kerana parti itu mengamalkan perjuangan politik berasaskan Islam.

Pada 5 Mac lalu, genaplah 10 bulan PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Rakyat masih dalam reaksi tunggu dan lihat apakah segala janji yang ditaburkan pemimpin-pemimpin ini semasa menjadi pembangkang telah ditunaikan atau tidak.

Semasa menjadi pembangkang, Guan Eng juga telah banyak memberikan pelbagai harapan kepada rakyat.

Daripada pembangkang kini menjadi kerajaan, Guan Eng perlu mengubah sifatnya dengan benar-benar menjadi seorang pemimpin kerajaan yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.

Beliau tidak boleh lagi berwatak pemimpin pembangkang. Kalau sudah menjadi menteri dan anggota kerajaan, segala ucapan dan kenyataannya mesti menjurus kepada kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

Apabila majoriti rakyat dihimpit kos sara hidup yang tinggi dan terpaksa membeli barangan yang mahal, inilah yang patut diselesaikan kerajaan. Tanpa terlalu banyak politik, rakyat akan menyokong kerajaan yang benar-benar membela nasib mereka.

Nasib UMNO pada hari ini adalah cermin sejarah untuk Guan Eng dan pemimpin-pemimpin DAP lain sekiranya masih mahu memikirkan politik yang sempit.

Rakyat akan lebih gembira seandainya politik perkauman dibuang jauh-jauh daripada muka bumi Malaysia.

Pemimpin-pemimpin PH yang baharu menjadi 10 bulan dalam kerajaan sentiasalah sedar bahawa banyak kesilapan telah mereka lakukan.

Ada yang telah menjadi menteri tetapi tindak-tanduk macam pembangkang.Ada menteri yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan ‘U-turn’.

Kerajaan yang tidak bermain api perkauman dan sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat sesungguhnya adalah kerajaan yang berjiwa rakyat. Jika segalanya ditunaikan, ia jauh lebih berkesan daripada mengkritik ‘perkahwinan UMNO-Pas’ ini!