X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Mahkamah benar Najib pinda tarikh ke Singapura

Najib, 68, selaku pemohon yang memfailkan notis usul pada 21 Oktober lepas, memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Oktober sehingga 22 November kepada 25 Oktober sehingga 6 Disember ini untuk melawat Nooryana Najwa di Singapura.
A
A

KUALA LUMPUR – Tiga Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasport untuk melawat anaknya di Singapura.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu, selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan berkenaan.

Ia membabitkan pindaan daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober hingga 6 Disember depan.

Di hadapan ketiga-tiga mahkamah, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya telah memfailkan notis usul untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya

Katanya, Najib dijangka ke Singapura pada 21 November, iaitu sehari selepas PRN Melaka bagi membolehkannya melawat anak perempuan yang bakal melahirkan anak bulan depan.

Bagaimanapun, perkembangan baharu politik tanah air berhubung PRN di Melaka bulan depan, menyebabkan pindaan terpaksa dibuat.

“Tarikh perjalanan ialah sehari selepas keputusan PRN Melaka, iaitu 21 November dan pulang semula pada 5 Disember dan beliau akan menjalani kuarantin selama tujuh hari sehingga 11 Disember,” katanya.

Pasukan pendakwaan bagi ketiga-tiga mahkamah iaitu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Mohamad Mustafa P Kunyalam dan Shafiq Hasim tidak membantah permohonan itu.

Ketika prosiding berhubung kes laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Mohamed Zaini, Muhammad Shafee memohon perbicaraan pada 29 dan 30 November dapat diganti pada tarikh lain.

Sementara prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB di hadapan Sequerah, Muhammad Shafee berkata, perbicaraan pada 9 hingga 11 November akan diteruskan sebelum Najib berlepas ke Singapura.

Bagi prosiding pecah amanah yang ditetapkan tahun depan, Muhammad Jamil mengarahkan pasukan pembelaan menulis surat untuk pengecualian kehadiran Najib pada sebutan kes 9 Disember depan.

“Mengambil kira pihak responden tiada bantahan terhadap permohonan itu dan mahkamah rayuan telah membenarkan permohonan pertama pemohon (Najib).

“Mahkamah ini membenarkan permohonan dengan pindaan 25 Oktober kepada 26 Oktober ini,” katanya.

Najib, 68, selaku pemohon yang memfailkan notis usul pada 21 Oktober lepas, memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Oktober sehingga 22 November kepada 25 Oktober sehingga 6 Disember ini untuk melawat Nooryana Najwa di Singapura.

Ahli Parlimen Pekan itu dalam afidavit sokongannya berkata beliau diamanahkan untuk membantu jentera parti UMNO menghadapi PRN Melaka pada 20 November depan memandangkan Ahmad Zahid, akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi tulang belakang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!