X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Kanak-kanak perempuan maut terjatuh

A
A

PUTRAJAYA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Presint 5 di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira jam 6.14 petang.

"Siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa tinggal bersama kakaknya yang berumur 14 tahun dan adik lelaki berumur tujuh tahun di rumah manakala ibu bapa mereka keluar bekerja.

"Ketika itu mangsa sedang belajar secara dalam talian di bilik tidur seorang diri dan bilik itu berkunci dari dalam manakala jeriji tingkap hanya menggunakan selak," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, kejadian disedari ibu bapa mangsa selepas pulang dari kerja kira-kira jam 6 petang yang mendapati bilik mangsa berkunci.

"Selepas dibuka mereka mendapati mangsa tiada di dalam bilik dan kemudian turun ke tingkat bawah apartmen. Ketika itu orang ramai sedang berkumpul dan mendapati anak mereka terbaring di lantai," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diberikan rawatan kecemasan awal di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya kira-kira jam 7 malam," katanya.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR) sementara menunggu bedah siasat dan ujian Covid diperoleh.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!