Lelaki guna van jadi stor arak tidak bercukai diberkas

Sebanyak 4,125 tin dan botol minuman keras dirampas oleh Pasukan Polis Marin.
Sebanyak 4,125 tin dan botol minuman keras dirampas oleh Pasukan Polis Marin.
A
A
A

KLANG - Taktik seorang lelaki warga asing menjadikan van sebagai stor penyimpanan arak seludup sebelum dijual kepada pembeli terbongkar selepas suspek diberkas di Pandamaran di sini pada Isnin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Mohd Shamsol Kassim berkata, pihaknya menahan suspek berusia 29 tahun itu dalam Ops Kontraband pada jam 3 petang.

"Semasa pemantauan, kita mendapati seorang lelaki dalam keadaan yang mencurigakan sedang membuka sebuah van yang di parkir di kawasan belakang kawasan perumahan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Shamsol berkata, pihaknya telah membuat serbuan dan berjaya menahan lelaki tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan hasil soal siasat mendapati pelbagai jenis minuman keras yang dipercayai tidak bercukai berada di dalam lima daripada enam buah van yang diparkir di kawasan terbabit.

"Kita merampas enam buah van dan 4,125 tin dan botol minuman keras dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta," katanya.

Mohd Shamsol berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke markas operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang untuk tindakan selanjutnya.

"Kita akan meneruskan siasatan bagi mengesan kumpulan atau sindiket terlibat," ujarnya.

Artikel Berkaitan: