Yusof kekal sebagai ADUN Sindumin

Yusof Yacob
Yusof Yacob
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata, kenyataan itu merujuk kepada isu status kerusi DUN Sindumin susulan keputusan Dr Yusof yang meninggalkan Warisan dan menjadi ADUN Bebas serta menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 8 Oktober lalu.

Katanya, pada hari sama, Dr Yusof memaklumkan perkara itu melalui perbualan dalam telefon dan meminta pertemuan diadakan di pejabatnya.

"Mesyuarat diadakan sekitar jam 11.20 pagi pada 11 Oktober lalu dan dalam mesyuarat itu, Datuk Dr Yusof Yacob menyerahkan kepada saya akuan bersumpah mengisytiharkan bahawa beliau membatalkan semua ikrar dibuatnya dengan Warisan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang berlangsung pada tahun 2020.

"Pada 15 Oktober lalu, saya menerima surat daripada firma guaman yang mendakwa mereka dilantik oleh Datuk Dr Yusof Yacob untuk mewakilinya. Surat terbabit adalah surat peletakan jawatan yang kononnya ditandatangani Datuk Dr Yusof Yacob bertarikh 8 Oktober 2021. Susulan daripada surat itu, Dr Yusof dengan tegas menafikannya dan beliau mengemukakan satu lagi surat akuan bersumpah bertarikh 16 Oktober lalu.

"Surat itu menyatakan bahawa beliau tidak pernah menandatangani surat peletakan jawatan itu.Saya telah menerima tiga dokumen daripada Datuk Dr Yusof Yacob dan dua dokumen daripada Warisan atau wakilnya," katanya.

Sehubungan itu, Kadzim berkata, status kerusi DUN Sindumin adalah berdasarkan dokumen yang dikemukakan terhadapnya.

"Bagi menentukan status kerusi N35 Sindumin, saya dipandu oleh dokumen yang dihantar kepada saya, perjumpaan (dengan Dr Yusof) pada 11 Oktober lalu, undang-undang yang ada sekarang dan kes ADUN Sebatik (Hassan A Gani Pg Amir) sama dengan fakta isu yang sedang dihadapi.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, berdasarkan perkara di atas, walaupun Datuk Dr Yusof Yacob bukan lagi ahli Warisan namun kerusi DUN Sindumin tidak kosong ketika beliau mengisytiharkan untuk meninggalkan parti itu pada 8 Oktober lalu. Jadi, beliau masih lagi menjadi ADUN bagi DUN Sindumin," katanya.

Sebelum ini, tindakan Dr Yusof keluar daripada Warisan mendapat tindak balas daripada parti itu dengan mengemukakan kepada Speaker DUN surat peletakan jawatan ADUN Sindumin dan aku janji yang ditandatangani Dr Yusof bahawa beliau perlu meletak jawatan sebagai ADUN Sindumin jika keluar parti.

ARTIKEL BERKAITAN:Yusof nafi tandatangan surat letak jawatan sebagai ADUN