Sanusi mahu PN-BN sepakat tumbangkan PH di Kedah

Pengerusi BN Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) menerima cenderahati dari Muhammad Sanusi pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan 75 Tahun Pas Kedah di Kompleks Pas Kedah pada malam Jumaat. Foto Pas Kedah
Pengerusi BN Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) menerima cenderahati dari Muhammad Sanusi pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan 75 Tahun Pas Kedah di Kompleks Pas Kedah pada malam Jumaat. Foto Pas Kedah
A
A
A

ALOR SETAR – Semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) diminta memperkukuh kerjasama politik bagi menumbangkan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini pada pilihan raya akan datang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesepakatan antara parti di bawah PN dan BN penting bagi memastikan kestabilan politik negeri sekali gus membolehkan agenda pembangunan Kedah dilaksanakan tanpa gangguan konflik politik.

Menurutnya, kerjasama yang terjalin dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini perlu dijadikan asas untuk membentuk kesepakatan lebih kukuh pada masa depan.

"Mai kita pakat sama-sama, Pas, UMNO, MCA, MIC, Wawasan, Pejuang dan Gerakan. Di Kedah ini, kita benam terus PH. Kita ajar betul-betul PKR.

"Mai kita pakat elok-elok atas kepentingan negeri dan rakyat Kedah, insya-ALLAH," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan 75 Tahun Pas Kedah di Kompleks Pas Kedah di sini pada malam Jumaat.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menyuarakan keyakinan bahawa gabungan parti yang mempunyai kesepakatan mampu mencapai sasaran penguasaan kesemua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

"Kita bagi jadi Parlimen 15-0, DUN 36-0. PH nak rebah dah. PH akan rebah. Dia nak main permainan macam dulu-dulu tidak boleh dah.

"Bila kita aman, PH yang ada tiga itu, insya-ALLAH tinggal kosong," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Pengerusi PN Kedah itu mendakwa PH semakin tertekan susulan kerjasama UMNO dengan PN dalam tiga PRN sebelum ini sehingga mencetuskan pelbagai kritikan terhadap parti berkenaan.

Katanya, kerjasama tersebut kini dilihat tidak disenangi oleh PH.

“Sekarang PH paling marah sekali pada UMNO, kata macam-macam. Saya tak gamak kata pada UMNO, saya buat kiasan saja.

“PH nak guna cara lama tak boleh dah, sekarang banyak negeri ada kekuatan. Sabah cara Sabah, Sarawak cara Sarawak, Kedah cara Kedah, Kelantan, Terengganu, semua solid,” ujarnya.

Pada masa sama, Muhammad Sanusi menyindir PH dengan menyamakan gabungan itu seperti motosikal yang menggunakan banyak minyak tetapi gagal bergerak laju kerana penunggangnya tidak berani melepaskan klac sepenuhnya.

Katanya, keadaan itu menggambarkan PH tidak menggunakan sepenuhnya peluang dan kuasa yang dimiliki sebagai kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab.

"PH ini ibarat motosikal, minyak makan banyak juga. Makan banyak minyak sebab lepas klac motosikal tidak habis. Motor tidak laju, bubuh gear, klac tidak berani lepas.

"Jadi rugi tuan-tuan, kita bagi PH jadi kerajaan, makan minyak, motor tidak pergi pun," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!