'Tutup ketirisan dahulu sebelum bercakap tentang GST' - Mahfuz

KOTA SAMARAHAN - Usaha menutup segala ruang ketirisan, memperkukuh penguatkuasaan, membanteras rasuah dan membawa mereka yang mencuri wang rakyat ke muka pengadilan perlu diutamakan sebelum membincangkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, cadangan mengembalikan GST tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan kemampuan meningkatkan hasil kutipan kerajaan sebaliknya turut mengambil kira aspek integriti dan tadbir urus.
“Masalah negara bukan semata-mata kekurangan hasil tetapi juga ketirisan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kelemahan tadbir urus.
“Jika lubang kebocoran tidak ditutup, menambah hasil kutipan ibarat menambah air ke dalam tangki yang bocor. Air bertambah tetapi kebocoran juga terus berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengembalikan GST.
Mahfuz turut tidak menafikan GST mempunyai kelebihan dari sudut mekanisme kutipan cukai dan boleh memperluas asas hasil negara.
“Namun, persoalan yang lebih besar ialah apakah jaminan bahawa setiap sen tambahan yang dikutip daripada rakyat akan diurus dengan amanah dan kembali kepada rakyat?
“Kita mahu pencuri wang rakyat ditangkap dan dihukum mengikut undang-undang bukannya diberikan perlindungan atau keistimewaan yang menimbulkan persoalan tentang keadilan.
“Pengampunan, pengurangan hukuman dan pelaksanaan tahanan di rumah juga tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk melupakan tuntutan akauntabiliti terhadap jenayah kewangan,” ujarnya.
Justeru, Mahfuz meminta UMNO dan MCA menjelaskan mengapa GST yang pernah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2015 sebelum dimansuhkan pada 2018 mahu dikembalikan termasuk bagaimana kelemahan pelaksanaan terdahulu akan diperbaiki.
Beliau menegaskan, hujah bahawa 175 negara menggunakan GST tidak boleh dijadikan alasan mutlak kerana sistem percukaian negara perlu dibina berdasarkan kemampuan rakyat Malaysia, bukan sekadar mengikut amalan negara lain.
“Kalau ayam dalam reban selalu dicuri, tuan rumah sepatutnya menangkap pencuri dan membaiki pagar. Bukan menyuruh isteri membeli lebih banyak ayam supaya reban sentiasa penuh.
“Nanti pencuri datang lagi, ayam bertambah, kecurian serta kerugian pun bertambah. Apatah lagi jika musang yang diberikan kuasa menjaga dan mengawal reban ayam,” katanya.
Mahfuz juga menyatakan sokongan terhadap usaha meningkatkan hasil negara namun menegaskan bahawa peningkatan hasil mesti berjalan seiring dengan peningkatan integriti, kecekapan dan akauntabiliti kerajaan.
Beliau turut menyokong penuh usaha kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memerangi rasuah dan menutup ketirisan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
“Jangan jadikan rakyat sebagai mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kerajaan, sedangkan kerajaan belum selesai membersihkan mereka yang menjadikan wang negara sebagai ATM peribadi.
“Jangan ukur kejayaan kerajaan berdasarkan berapa banyak wang berjaya dikutip daripada rakyat. Ukurlah berdasarkan berapa banyak wang rakyat berjaya diselamatkan daripada ketirisan dan berapa banyak yang benar-benar dikembalikan untuk kesejahteraan rakyat,” kata Mahfuz lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

