Yusof nafi tandatangan surat letak jawatan sebagai ADUN

Surat yang tular di media sosial menyatakan beliau menandatangani surat berkenaan pada 8 Oktober 2021. (Gambar kecil: Yusof)
Surat yang tular di media sosial menyatakan beliau menandatangani surat berkenaan pada 8 Oktober 2021. (Gambar kecil: Yusof)
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob menafikan beliau menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ADUN serta-merta.

Beliau membuat penafian itu berhubung satu surat bertarikh 8 Oktober lalu yang didakwa ditandatangani sebelum ditularkan di media sosial beberapa hari lalu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya, saya tidak pernah menandatangani surat bertarikh 8 Oktober 2021 seperti yang tular itu.

"Saya difahamkan bahawa surat itu dihantar oleh peguam Parti Warisan Sabah (Warisan) kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) (Datuk Kadzim M Yahya)," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau berkata, keputusan berhubung perkara itu akan dibuat oleh Speaker DUN Sabah.

"Kita tunggu keputusan Speaker DUN," katanya ringkas.

Pada Jumaat lalu, tular surat peletakan jawatan serta-merta sebagai ADUN Sabah yang ditandatangani oleh Yusof sebagai ADUN Sindumin bertarikh 8 Oktober 2021.

Isi kandungan surat itu menyatakan beliau tidak akan layak untuk menjadi calon untuk ADUN Sabah selama lima tahun bermula tarikh surat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini menegaskan surat taat setia dan akuan bersumpah serta video ADUN Warisan masih ada dalam simpanan parti dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap Yusof.

Yusof pada 8 Oktober lalu mengumumkan bahawa beliau keluar daripada Warisan dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).