PRN Sarawak: Tidak boleh leka, kemenangan tanpa bertanding bukan satu keistimewaan - Fadillah

Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Zon 4 sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 di Kampung Sinjok, hari ini. Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Zon 4 sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 di Kampung Sinjok, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SIBURAN - Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tanpa bertanding di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bukan satu keistimewaan untuk diraikan semata-mata, tetapi amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Ketua Whip GPS berkata, calon yang diberikan mandat perlu memahami harapan dan keperluan rakyat, serta memastikan segala janji untuk membawa Sarawak ke arah pembangunan dan kemakmuran dapat ditunaikan.

"Kemenangan ini bukan privilege, bukannya untuk kita menjadi seorang yang popular, tetapi lebih kepada kita menanggung amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita dan perlu ditunaikan dengan sebaik-baiknya,” katanya selepas Program Pelancaran Jentera Bidayuh di Kampung Sinjok, di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, Fadillah mengingatkan jentera GPS supaya tidak leka atau terlalu yakin selepas memenangi 29 kerusi berkenaan, sebaliknya terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan kesemua 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata walaupun GPS memerlukan sekurang-kurangnya 76 kerusi untuk mencapai kemenangan kukuh, gabungan itu tetap berusaha memenangi kesemua kerusi bagi memastikan kesinambungan perjuangan dan agenda pembangunan Sarawak, termasuk Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kawasan yang telah dimenangi tanpa bertanding juga digalakkan menggerakkan jentera masing-masing bagi membantu calon GPS yang masih berdepan persaingan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Fadillah berkata, kemenangan besar GPS pada PRN kali ini juga penting bagi memperkukuh kedudukan gabungan itu dalam menentukan hala tuju kepimpinan Kerajaan Persekutuan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, walaupun GPS hanya mempunyai 23 kerusi Parlimen ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan, gabungan itu memainkan peranan penting dalam menentukan kepimpinan kerajaan pada peringkat Persekutuan.

"Walaupun jumlah kita 23 (kerusi Parlimen), siapa menentukan siapa yang akan memimpin Kerajaan Perpaduan? GPS. Sebab itu saya katakan penting untuk kawasan Bidayuh, walaupun hanya lapan kerusi, suara kita penting dan mempunyai pengaruh dalam DUN untuk pembentukan dasar dan strategi kerajaan negeri,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 Disember sebagai hari pengundian awal, manakala hari pengundian pada 12 Disember.- Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!