JKNJ masih tunggu keputusan ujian makmal kematian remaja

Dr Aman (dua dari kanan) ketika meninjau operasi pematuhan SOP Covid-19 di Setia Tropika, Johor Bahru pada Isnin.
Dr Aman (dua dari kanan) ketika meninjau operasi pematuhan SOP Covid-19 di Setia Tropika, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih menunggu keputusan lanjut ujian makmal berkaitan punca kematian seorang remaja perempuan yang didakwa meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin pada 8 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, sehingga kini tiada sebarang perkembangan baharu berkaitan perkara itu selain pihaknya masih berpegang kepada pemakluman yang mana remaja berkenaan turut didapati mempunyai simpton penyakit.

“Tiada kemas kini baharu, apa yang ada sama seperti saya maklum dalam kenyataan (pada 23 Oktober) itu sahaja,” katanya kepada pemberita semasa Operasi Penguatkuasaan Covid-19 dan Peraturan - Peraturan Kawalan Hasil Tembakau di Setia Tropika, di sini pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan JKNJ mengambil perhatian serius berhubung kematian seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Batu Pahat selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Dr Aman berkata, remaja itu menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer pada 3 Oktober sebelum ditemui meninggal dunia di ruang tamu rumah oleh ibunya pada 8 Oktober.

Bagaimanapun, katanya, hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati pemeriksaan dalaman terhadap mayat remaja itu mendapati ada ketumbuhan di bahagian ovari dan anomali struktur jantung.

“Kesemua sampel tisu dalam badan telah dihantar bagi pemeriksaan lanjut oleh pakar perubatan forensik patologi di Hospital Sultanah Aminah. Keputusan pemeriksaan lanjut dijangka diperoleh antara 24 hingga 28 Oktober ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja meninggal selepas vaksin ada ketumbuhan, masalah jantung

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengenai operasi pemantauan pematuhan yang dilakukan, Dr Aman berkata, JKNJ bersama agensi berkaitan akan terus melakukan operasi bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikurangkan.

“Operasi akan terus dilakukan di seluruh negeri dan kita begitu serius mengenai perkara ini. Kita lihat peniaga dan orang ramai juga memberi kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ada.

“Jadi sempena Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini, kita datang untuk melihat keadaan dan berikan teguran dahulu jika ada yang menyalahi SOP,” katanya.

Katanya, sehingga 21 Oktober 2021, sebanyak 6,796 kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di negeri Johor dengan nilai kutipan sebanyak RM4,382,628.