X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Remaja meninggal selepas vaksin ada ketumbuhan, masalah jantung

Tangkap layar hantaran Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung kematian seorang remaja perempuan.
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil perhatian serius berhubung kematian seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Batu Pahat selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19 yang tular di media sosial sejak Jumaat.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, pelajar Tingkatan Dua itu menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer, pada 3 Oktober lalu.

"Pada 8 Oktober lalu, remaja perempuan itu ditemui meninggal dunia di ruang tamu rumah oleh ibunya.

"Bedah siasat telah dijalankan selepas jenazahnya dibawa Pegawai Penyiasat Polis, Balai Polis Batu Pahat ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) atas sebab kematian mengejut.

"Pemeriksaan luaran mendapati jenazah berada dalam keadaan baik manakala pemeriksaan dalaman terdapat ketumbuhan di ovari dan anomali struktur jantung," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurut Dr Aman, kesemua sampel tisu dalam badan telah dihantar bagi pemeriksaan lanjut oleh Pakar Perubatan Forensik Patologi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Kenyataan JKNJ pada Sabtu.
Kenyataan JKNJ pada Sabtu.

"Keputusan pemeriksaan lanjut dijangka diperoleh antara 24 hingga 28 Oktober ini. Pelbagai ujian darah juga telah dihantar ke makmal dan masih menunggu keputusan.

"Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana keputusan uji kaji masih belum diterima. Laporan bedah siasat yang lengkap perlu bagi mendapatkan sebab kematian. Keputusan lengkap bedah siasat dijangka diperoleh antara Ahad hingga Khamis ini," katanya.

Beliau memberitahu, HSNI menerima permohonan bedah siasat daripada pihak polis daerah Batu Pahat selepas keluarga remaja perempuan itu membuat laporan polis susulan meninggal dunia secara mengejut.

Katanya, temubual lanjut oleh Pegawai Perubatan Unit Perubatan Forensik, HSNI bersama waris remaja perempuan itu mendapati tidak mempunyai sebarang jenis penyakit dan alahan.

"Status kesihatan remaja perempuan terbabit pasca vaksin dalam keadaan baik dengan tidak menghidap demam,selesema, lemah sendi atau susah bernafas.

"Selain itu remaja perempuan itu dilaporkan menjalani aktiviti harian seperti biasa sebelum ditemui meninggal di ruang tamu rumahnya pada 8 Oktober lalu," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!