Kedah gesa percepat bina empangan sabo

Suraya (tengah) meninjau lokasi tragedi kepala air dan banjir kilat di pusat peranginan Titi Hayun, Yan, Kedah pada Ahad.
Suraya (tengah) meninjau lokasi tragedi kepala air dan banjir kilat di pusat peranginan Titi Hayun, Yan, Kedah pada Ahad.
A
A
A

YAN - Kerajaan Kedah menggesa kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mempercepatkan pembinaan empangan sabo di kawasan tragedi bagi mengelakkan kepala air berulang.

Exco Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga dan Kerja Raya Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, empangan tersebut berfungsi sebagai penahan dan melambatkan aliran air bagi mengelakkan berlakunya kejadian sama.

Menurut beliau, dengan adanya empangan sabo seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan peruntukan berjumlah RM20 juta usaha ini diharap dapat mengurangkan kesan bencana banjir kilat dan kepala air di lokasi tragedi.

"Dulu, sungai kita ada pokok tepi, bila air laju pokok pegang sikit, batu besar pegang sikit, jadi dia akan perlahankan pergerakan air.

"Jadi, empangan sabo akan berperanan sebagai tangan, tahan pokok dan batu, bagi air sahaja yang turun, sekarang ni masalahnya, batu, kayu semua ikut turun, sebab laluan sungai telah berubah sepenuhnya selepas insiden kepala air," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian banjir kilat yang berlaku 20 Oktober lalu, selepas tragedi kepala air pada 18 Ogos, ketika meninjau lokasi kejadian di Titi Hayun, Yan pada Ahad.

Kerosakan yang berlaku akibat banjir kilat di Titi Hayun pada 20 Oktober selepas tragedi kepala air Ogos lalu.
Kerosakan yang berlaku akibat banjir kilat di Titi Hayun pada 20 Oktober selepas tragedi kepala air Ogos lalu.

Sebelum ini, Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan peruntukan kerja-kerja naik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer yang turut membabitkan pembinaan empangan sabo fasa satu berjumlah RM20 juta.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Suraya menafikan dakwaan pengusaha inap desa berhubung kelewatan kerja-kerja mendalamkan sungai di lokasi tragedi sehingga menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan sama.

"Kita hanya merancang tetapi alam yang membuatkannya berubah, kita dah buat dah benteng ini sebenarnya, batu semua ke tepi, tetapi dengan air yang laju semua benteng, bahagian atas semua turun ke bawah, benteng sini turun situ, bukan pasal kita lambat tetapi kita dah buat, sebab perlu alih batu bukan tanah dan ia dalam sungai dan ada air.

"Kita faham masalah mereka, tetapi mereka faham dengan alam ini, mereka kena berkongsi pendapatan dengan alam, saya rasa mereka perlu memahami, ini suara alam," katanya.

Jelas beliau, kerja-kerja baik pulih telah bermula pada pertengahan September 2021 dan dijadualkan siap sepenuhnya

pada awal November 2021.

"Peratus kemajuan kerja-kerja tersebut adalah 65 peratus iaitu berjalan serentak dengan penggunaan jentera dengan purata satu kerja satu jentera di tapak," katanya.

Menurut beliau antara skop kerja yang terlibat termasuk pengorekan semula sungai yang tertimbus akibat mendapan, penstabilan tebing sungai bagi tempat yang terhakis teruk, mengalih, membersih dan membuang halangan pokok, reba serta ranting dan dahan yang tersekat di struktur lintasan dan jambatan bagi melancarkan aliran air sungai.